Rabu, 8 March 2017 | 6:53pm

Atlet pecut mampu beri kejutan


PENGURUS pasukan olahraga negara, Datuk Salim Parlan ditemuramah wartawan di Majlis Sukan Negara (MSN), Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Owee Ah Chun

KUALA LUMPUR: Pengurus pasukan olahraga negara, Datuk Salim Parlan menaruh harapan tinggi atlet pecut kebangsaan mampu mencipta kejutan luar biasa di saingan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Ogos depan.

Harapan dan keyakinan itu disandarkan kepada prestasi semasa 12 atlet pecut negara yang kini berkampung di Afrika Selatan untuk menjalani latihan dan menyertai beberapa pertandingan di sana.

Atlet pecut negara mempamerkan aksi membanggakan ketika menyertai Kejohanan AGN League di Pretoria, Afrika Selatan, Sabtu lalu.

"Jika diikutkan ranking, pelari pecut kita berada di kedudukan terbaik. Saya rasa kita boleh menjadi pencabar dalam acara pecut dan berganti-ganti. Itu antara sebab kita kumpulkan mereka untuk berlatih bersama di Afrika Selatan.

"Contohnya, Zaidatul Husniah Zulkifli mencatatkan masa yang begitu baik, cuma tidak diiktiraf kerana bantuan angin.

"Situasi itu masih perlu diperbaiki dan kita harap olahraga mampu memberikan hasil luar biasa dan akan kembali gemilang selepas ini," katanya ketika sidang media di Majlis Sukan Negara (MSN) dekat sini, hari ini.

Zaidatul Husniah merakamkan kepantasan 11.36s dalam acara 100 meter di Kejohanan AGN League 7, Pretoria, mengatasi catatan rekod kebangsaan 11.50s milik G Shanti yang dilakar di Kuala Lumpur pada 7 Mei 1993.

Bagaimanapun catatan Zaidatul Husniah itu tidak diiktiraf sebagai rekod kebangsaan kerana mendapat bantuan angin.

Berita Harian X