Khamis, 9 March 2017 | 8:11am

Zaidatul wanita terpantas Malaysia

KUALA LUMPUR: Olimpian negara, Zaidatul Husniah Zulkifli membuktikan dirinya adalah wanita terpantas di Malaysia apabila memecahkan rekod kebangsaan acara 100 meter (m) yang berusia 24 tahun, awal pagi tadi.

Atlet dari Pulau Pinang itu mencatat kepantasan 11.45 saat (s) dalam Kejohanan ASA Speed Series 2, Bloemfontein, Afrika Selatan, sekali gus memadamkan rekod lama 11.50s milik G Shanti yang dilakukannya pada aksi Pra-Sukan SEA di Kuala Lumpur pada 7 Mei 1993.

Kejayaan atlet yang beraksi di Sukan Olimpik Rio 2016 itu disahkan oleh ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Zainal Abas.

Bagaimanapun, Zaidatul Husniah sekadar menamatkan saingan di tempat kedua pada aksi final Kumpulan B itu dengan acara berkenaan diungguli atlet tuan rumah, Tamzin Thomas yang mewakili University of Western Cape manakala tempat ketiga diraih Tsaone Sebele dari University of Johanesburg.

Sabtu lalu, Zaidatul Husniah, 24, sudah memecahkan rekod kebangsaan yang sudah lama bertahan itu, namun catatan 11.36s yang dicipta dalam Kejohanan AGN League 7, Pretoria, Afrika Selatan itu tidak diiktiraf kerana mendapat bantuan angin 2.5s.


PELARI negara, Zaidatul Husniah Zulkifli (kiri). - Foto Rosli Rahmat

Seorang lagi atlet negara yang berada di kumpulan sama, S Komalam mengakhiri saingan di kedudukan keempat, namun dia berjaya mencatatkan rekod peribadi terbaik dengan kepantasan 11.72s.

Bagi acara 4x100m lelaki pula, skuad negara mengakhiri saingan di tempat kedua dengan catatan masa 40.38s manakala juara milik pasukan Afrika Selatan dengan kepantasan 39.03s serta ketiga, Western Province (40.63s).

Pasukan 4x100m wanita juga menamatkan saingan di kedudukan kedua dengan catatan 45.71s, juara milik Afrika Selatan (45.16s) dan ketiga, Universiti of Freestate, 48.08s.

Semua kejohanan berlangsung di Stadium Mangaung Athletics, Bloemfontein, Afrika Selatan.

Ia adalah kejohanan kedua disertai atlet negara di benua Afrika selepas AGN League di Pretoria, Sabtu lalu.

Ketika ini seramai 11 atlet olahraga berada di Afrika Selatan untuk sesi latihan dan pertandingan sebagai persiapan menjelang temasya Sukan SEA, Kuala Lumpur, Ogos depan.

Berita Harian X