Khamis, 9 March 2017 | 9:34pm

Shanti gembira Zaidatul jadi pengganti


PELARI pecut negara, Zaidatul Husniah (kiri) dan bekas pemegang rekod acara pecut 100m wanita negara, G Shanti.

KUALA LUMPUR: Bekas pemegang rekod acara pecut 100 meter (m) wanita negara, G Shanti berkongsi kegembiraan apabila rekod kebangsaan berusia 24 tahun miliknya dipecahkan, sekali gus membuktikan acara riben biru itu sudah menemui penggantinya.

Rekod 11.50s (saat) yang dicatatkan G Shanti dalam acara 100m pada 7 Mei 1993 di Kuala Lumpur akhirnya lebur apabila atlet pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli merakam rekod 11.45s di Kejohanan ASA Speed Series 2, Bloemfontein, Afrika Selatan, pagi tadi.

Shanti yang kini berkhidmat sebagai pegawai di Maybank cawangan Bandar Baru Bangi, Selangor berkata, Malaysia kini sudah mempunyai pengganti yang mampu menggegarkan arena olahraga negara selepas rekod itu bertahan selama 24 tahun.

"Saya dimaklumkan oleh rakan mengenai berita ini dan sudah tentu saya gembira apabila rekod 100m kebangsaan milik saya dipecahkan dan kini kita sudah menemui pengganti saya.

"Jadi harapan saya ialah agar Zaidatul Husniah terus diketengahkan dan mendapat pendedahan mulai sekarang," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, Shanti, 50, yang bersara dari olahraga pada 1998, menyifatkan Zaidatul Husniah berpeluang cerah untuk menggondol pingat emas pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, bermula 19 Ogos ini.

"Walaupun kita tidak tahu prestasi pencabar dari negara lain yang akan bersaing di Sukan SEA nanti, catatan 11.45s itu berpotensi untuk memenangi pingat emas.

"Tetapi dia perlu kekalkan momentum dan rentak larian sehingga ke Sukan SEA nanti," kata Shanti yang mengakui sudah lama tidak mengikuti perkembangan olahraga tanah air.

Zaidatul Husniah kini bersama 11 atlet pecut negara berkampung di Afrika Selatan untuk menyertai latihan dan beberapa kejohanan di sana sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Selepas ASA Speed Series 2, atlet negara akan menyertai empat lagi kejohanan iaitu ASA Speed Series 4, Germiston pada 22 Mac; NWU/SASOL Prestige International Meeting di Sasolburg (28 Mac); AGN League 10, Best Mrs Tuks (8 April) dan National Senior Championship, Potchefstroom (20-11 April).

Berita Harian X