Jumaat, 10 March 2017 | 9:48pm

Yan Yee gagal menyerlah di Guangzhou

KUALA LUMPUR: Penerjun negara, Ng Yan Yee gagal menyerlah pada pusingan kedua Siri Terjun Dunia FINA di Guangzhou, China selepas menduduki tempat terakhir acara 3m papan anjal wanita, hari ini.

Penerjun berusia 23 tahun itu hanya mengumpul 314 mata selepas lima terjunan untuk menduduki tempat keenam acara itu yang berlangsung di Swimming Natatorium, Pusat Sukan Olimpik, demikian menurut laman web Persekutuan Renang Antarabangsa, www.fina.org.


PENERJUN negara, Ng Yan Yee. - Foto Rosli Rahmat

Beliau mara ke peringkat akhir acara itu selepas mengumpul 316 mata dalam saingan separuh akhir A, awal hari ini.

Tuan rumah, China meneruskan penguasaan pada kejohanan itu apabila meraih pingat emas dan perak acara berkenaan, masing-masing menerusi Shi Tingmao (395 mata) dan Chang Yani (361 mata).

Sementara, pingat gangsa milik penerjun Australia, Maddison Keeney yang mengutip 357 mata.

Dalam acara 3m papan anjal seirama wanita, semalam, Yan Yee yang bergandingan dengan Nur Dhabitah Sabri, menduduki tempat keempat selepas mengutip 302 mata.

Pasangan ratu terjun negara dan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong meraih pingat gangsa acara 10m platform seirama wanita selepas mengumpul 332 mata, semalam.

Pada hari terakhir kejohanan itu, esok, Pandelela dan Nur Dhabitah akan bersaing dalam acara 10m platform wanita. - BERNAMA

Berita Harian X