Sabtu, 11 March 2017 | 4:44pm

Jepun peringati bencana tsunami Tohoku


RAKYAT Jepun bertafakur sempena ulang tahun keenam memperingati bencana tsunami, gempa bumi dan nuklear yang melanda di luar pesisir Tohoku.

TOKYO: Seluruh rakyat di Jepun bertafakur hari ini, sempena ulang tahun keenam memperingati bencana tsunami, gempa bumi dan nuklear yang melanda di luar pesisir Tohoku, negara itu.

Gempa bumi berukuran 9.0 skala Richter melanda Lautan Pasifik 11 Mac 2011, menyebabkan tsunami yang mengorbankan 18,500 nyawa, termasuk yang masih hilang sehingga pada hari ini.

Limpahan arus deras itu turut memusnahkan tiga reaktor nuklear di loji jana kuasa Fukushima Daiichi dan disifatkan sebagai tragedi nuklear terburuk selepas Chernobyl di Russia pada 1986.

Gempa bumi dan tsunami itu menyebabkan sinar radiasi melanda keseluruhan kawasan mengakibatkan pemindahan segera lebih 450,000 penduduk setempat.

Pada upacara itu, Perdana Menteri, Shinzo Abe dan tetamu kelihatan menundukkan kepala dan berdoa bersama jutaan rakyat lain tepat pada jam 2.46 petang, waktu sama bencana itu melanda, enam tahun lalu.

Abe dalam ucapannya berkata, tragedi berkenaan membawa kemusnahan yang tidak pernah dijangka dan mengorbankan banyak nyawa.

AFP

Berita Harian X