Ahad, 12 March 2017 | 1:04pm

Kerajaan DAP PP hanya pandai kritik

DATUK Seri Ahmad Bashah Md Hanipah meninjau proses pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) peringkat daerah Kota Setar di Pejabat Daerah Kota Setar. - Foto Amran Hamid
DATUK Seri Ahmad Bashah Md Hanipah meninjau proses pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) peringkat daerah Kota Setar di Pejabat Daerah Kota Setar. - Foto Amran Hamid

ALOR SETAR: Kerajaan DAP Pulau Pinang digesa tidak hanya pandai mengkritik tanpa memberi sebarang penyelesaian konkrit mengenai isu pembalakan haram yang didakwa berlaku di Hutan Simpan Ulu Muda di negeri ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata aktiviti pembalakan itu tidak mendapat lesen daripada kerajaan negeri, tetapi dilakukan secara haram.

Katanya, penguatkuasaan perlu dilakukan oleh Jabatan Hutan, malah arahan memperkemaskan tugasan itu juga sudah dikeluarkan.

"Pulau Pinang jangan tahu membidas sahaja.. tampillah bersama-sama membantu Kedah mengatasi masalah ini. Kedah kena jaga hutan, tetapi Pulau Pinang tahu ambil air saja.

"Jangan hanya tahu nak ambil air dan bidas kita sahaja, tetapi tidak mahu bersama-sama atasi pembalakan haram. Apa sumbangan Pulau Pinang pula (dalam menjaga hutan).... itu bukan sikap kerajaan yang baik.

"Kita ada beberapa kali panggil untuk perbincangan, tetapi mereka tidak berminat. Pertemuan perlu ada di peringkat tertinggi yang boleh mencapai persetujuan dan persefahaman," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2017 bagi Parlimen Alor Setar di Pejabat Daerah Kota Setar di sini hari ini.

Baru-baru ini, Sahabat Alam Malaysia (SAM) menyokong gesaan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) untuk segera melarang pembalakan di Hutan Simpan Ulu Muda dan mewartakan hutan simpan ini sebagai hutan tadahan air.

Ia susulan PBAPP mendedahkan bahawa kapasiti penyimpanan Empangan Muda adalah 60.3 peratus pada 1 Januari lalu dan ia menurun kepada 27.3 peratus pada 7 Mac lalu yang membawa kepada defisit air ini.

Berita Harian X