Ahad, 12 March 2017 | 3:04pm
Lee Hup Wei

Nauraj raih emas, Hup Wei gangsa di Canberra


Nauraj Singh. - Foto Hasriyasyah Sabudin

KUALA LUMPUR: Jaguh lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa meraih pingat emas di Grand Prix Canberra, Australia dengan catatan 2.25 meter (m), hari ini.

Pingat perak menjadi milik atlet dari Australia, Nik Bojic yang melakukan catatan 2.19m manakala pingat gangsa turut menjadi atlet negara, Lee Hup Wei, 2.16m.

Kejayaan Nauraj itu menjadi petanda baik buat dirinya untuk mempertahankan pingat emas yang diraih di Sukan SEA, Singapura 2015 menjelang temasya sama di Kuala Lumpur pada Ogos ini.

Pada temasya dua tahun lalu, Nauraj menamatkan saingan di Singapura dengan lompatan setinggi 2.13m.

Nauraj yang pernah beraksi di Sukan Olimpik Rio, Brazil 2016 adalah pemegang rekod kebangsaan acara lompat tinggi lelaki dengan ketinggian 2.29m.

Nauraj memperbaharui rekod kebangsaan di Kejohanan Olahraga Terbuka Singapura pada April 2016 lompatan setinggi 2.29m dan memadamkan rekod 2.27m milik Hup Wei sebelum ini.

Berita Harian X