Isnin, 13 March 2017 | 12:09am

Baba, Nyonya Pulau Pinang masih wujud

GEORGETOWN: Keunikan masyarakat peranakan Baba dan Nyonya di Pulau Pinang mungkin kurang dikenali, namun komuniti itu masih wujud dalam kalangan penduduk negeri itu yang kaya dengan pelbagai budaya dan warisan tersendiri.

Masyarakat Baba dan Nyonya Pulau Pinang agak berbeza berbanding komuniti sama di Melaka, Singapura dan Kota Bharu yang mana mereka mempunyai kemahiran tradisional seperti membuat perabot rotan dan kasut manik.

Keturunan kelima Baba dan Nyonya, Lilian Tong, 50, berkata keturunan peranakan di Pulau Pinang masih mengamalkan konsep campuran budaya Cina dan Melayu serta budaya Inggeris yang diamalkan nenek-moyang mereka sejak berhijrah ke Tanah Melayu.

Katanya, penghijrahan kaum Tiong Hua bermula ketika aktiviti perdagangan di antara Kerajaan Melayu dan China sekitar tahun 1400, apabila ramai masyarakat itu menetap di Melaka sebelum bergerak ke Pulau Pinang dan Singapura untuk berniaga.

"Masyarakat Baba dan Nyonya mula terbentuk di Pulau Pinang selepas Francis Light tiba pada tahun 1786 dengan jumlahnya semakin meningkat sekitar tahun 1800 berikutan negeri itu menjadi pelabuhan penting bagi perdagangan bijih timah, getah dan pembuatan.

"Perkahwinan campur turut berlaku ketika itu menyebabkan masyarakat Baba dan Nyonya mula mengamalkan kehidupan seperti masyarakat setempat yang dipengaruhi budaya Inggeris dengan gelaran 'King's Chinese'," katanya ketika ditemui BH Plus.


PENGUNJUNG yang hadir melihat barangan antik dan koleksi warisan Baba Nyonya yang dipamerkan di Pinang Peranakan Mansion, Lebuh Gereja, Georgetown. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

ANTARA barangan antik dan koleksi warisan Baba Nyonya yang dipamerkan di Pinang Peranakan Mansion, Lebuh Gereja, Georgetown. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

PENGUNJUNG yang hadir melihat barangan antik dan koleksi warisan Baba Nyonya yang dipamerkan di Pinang Peranakan Mansion, Lebuh Gereja, Georgetown. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

Difahamkan, ketika itu masyarakat Baba dan Nyonya yang majoritinya beragama Buddha dan Kristian juga memberikan taat setia mereka kepada Raja dan Ratu British termasuk memilih sistem pendidikan dan kewangan yang diperkenalkan kolonial.

Lilian berkata, walaupun berketurunan campuran, masyarakat Baba dan Nyonya masih meraikan sambutan Tahun Baharu Cina, Chap Goh Meh dan pelbagai perayaan budaya seperti Pesta Tanglung.

"Pemikiran komuniti ini berbeza berbanding masyarakat Cina asli dan semua anak-anak bersekolah Inggeris sehingga melanjutkan pengajian ke England serta memilih kerjaya profesional seperti peguam dan doktor.

"Dalam aspek makanan pula, kami menjadikan masakan Melayu yang pedas, masam dan manis seperti hidangan asam pedas udang dan kari ikan serta ulam-ulaman sebagai makanan harian," katanya.

Bagi golongan wanita, mereka juga diajar kemahiran pengurusan rumah tangga termasuk membuat kasut manik dan baju kebaya sebagai lambang kepandaian si isteri menguruskan diri dan rumah tangga dengan baik.

"Baju kebaya panjang adalah fesyen pertama perlu dipakai gadis nyonya sebelum mereka menggayakan baju kebaya pendek yang mempunyai sulaman berteraskan alam sekitar bersama kain sarung batik.

"Selain itu, golongan baba banyak menggayakan pakaian ala Barat seperti kot dan kemeja, namun masih memakai jubah Cina bagi perayaan khas," katanya.


Rickey Lim, 48, menerangkan barangan antik dan koleksi warisan Baba Nyonya yang dipamerkan di Pinang Peranakan Mansion, Lebuh Gereja, Georgetown. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

PENGUNJUNG yang hadir melihat barangan antik dan koleksi warisan Baba Nyonya yang dipamerkan di Pinang Peranakan Mansion, Lebuh Gereja, Georgetown. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

Lilian berkata, keluarga Baba dan Nyonya sangat mementingkan kekayaan kerana pemilikan harta yang banyak menjadi lambang kerajinan dan ketekunan seorang lelaki dalam memajukan kehidupannya.

"Untuk melihat seseorang itu rajin atau tidak, masyarakat Baba dan Nyonya melihat kepada kekayaan yang diberikan suami kepada isteri. Jika isterinya memakai perhiasan mewah, maka lelaki itu mampu memberi kemewahan kepada keluarganya.

"Bagi mereka yang berpangkat dan berkedudukan tinggi, golongan Nyonya akan memakai tali pinggang diperbuat daripada emas untuk dipakai bersama kain batik manakala bagi golongan sederhana memakai tali pinggang diperbuat daripada tembaga," katanya.


PENGUNJUNG yang hadir melihat barangan antik dan koleksi warisan Baba Nyonya daripada zaman sebelum dan selepas perang dunia kedua yang dipamerkan di Pinang Peranakan Mansion, Lebuh Gereja, Georgetown. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

PINANG Peranakan Mansion merupakan muzium budaya warisan Baba dan Nyonya di negeri Pulau Pinang yang terletak di Lebuh Gereja, Georgetown. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

INFO

  • Majlis perkahwinan diadakan selama 12 hari dengan pasangan pengantin perlu memakai pakaian berlainan tema.
  • Keluarga pengantin lelaki tidak memberi hadiah wang tunai, sebaliknya memberi hantaran barang kemas dan perhiasan diletak dalam bakul bertingkat untuk diberikan kepada pengantin perempuan.
  • Peranakan Baba dan Nyonya berhibur seperti masyarakat Melayu, iaitu minat berjoget.
  • Antara tarian popular, tarian sapu tangan, tarian kipas, mangkuk tingkat dan buah oren.
ANTARA barangan antik dan koleksi warisan Baba Nyonya yang dipamerkan di Pinang Peranakan Mansion, Lebuh Gereja, Georgetown. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal
PENGUNJUNG yang hadir melihat barangan antik dan koleksi warisan Baba Nyonya daripada zaman sebelum dan selepas perang dunia kedua yang dipamerkan di Pinang Peranakan Mansion, Lebuh Gereja, Georgetown. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal
RUMAH warisan Baba dan Nyonya yang dibina oleh satu tokoh terkenal pada abad ke -19 di Pinang Peranakan Mansion, Lebuh Gereja, Georgetown. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal
PENGUNJUNG yang hadir melihat barangan antik dan koleksi warisan Baba Nyonya daripada zaman sebelum dan selepas perang dunia kedua yang dipamerkan di Pinang Peranakan Mansion, Lebuh Gereja, Georgetown. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal
PENGUNJUNG yang hadir melihat barangan antik dan koleksi warisan Baba Nyonya daripada zaman sebelum dan selepas perang dunia kedua yang dipamerkan di Pinang Peranakan Mansion, Lebuh Gereja, Georgetown. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal
ANTARA barangan antik dan koleksi warisan Baba Nyonya yang dipamerkan di Pinang Peranakan Mansion, Lebuh Gereja, Georgetown. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal
PELANCONG tidak melepaskan peluang mengambil gambar barangan antik dan koleksi warisan Baba Nyonya. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal
Berita Harian X