Selasa, 14 March 2017 | 12:06am
REKAAN gaun pengantin berkonsepkan Muslimah. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Anggun di hari bahagia


KOLEKSI ini turut dilengkapi dengan rekaan tudung yang pastinya akan menyerlahkan lagi penampilan si pemakai pada hari bersejarah raja sehari. - Foto Nurul Shafina Jemenon

HOUSE of Cosry buat pertama kalinya membawakan kelainan dalam koleksi raja seharinya apabila menampilkan rekaan gaun pengantin berkonsepkan Muslimah.

Bertemakan 'The Queen of Modesty', Pengarah Kreatifnya, Putra Aziz bukan saja memberikan sentuhan unik dan istimewa kerana koleksi ini turut dilengkapi dengan rekaan tudung yang pastinya akan menyerlahkan lagi penampilan si pemakai pada hari bersejarah mereka.

Sebanyak 12 rekaan dipersembahkan sempena acara The Wedding KL 2017 yang berlangsung di Hotel Mandarin Oreintal Kuala Lumpur pada hujung minggu lalu.

"Fesyen Muslimah kini sudah berjaya menembusi pasaran fesyen lebih luas dan daripada pengalaman kami juga dapati kebanyakan pelanggan Cosry kini ramai yang bertudung.

"Justeru, saya berasa terpanggil untuk memenuhi permintaan mereka yang mahu tampil anggun dan bergaya ketika hari bahagia berkenaan tanpa mengabaikan tuntutan syariah.

"Malah ini adalah kali pertama kami menampilkan konsep pengantin Muslimah dalam pertunjukan fesyen berprestij seperti ini, bersesuaian dengan trend dan gaya hidup kebanyakan wanita masa kini yang lebih Islamik," katanya.


PELANCARAN The Queen of Modesty by Cosry di The Wedding 2017 di Kuala Lumpur. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Elemen canggih

Putra berkata, biarpun menampilkan konsep bertudung, beliau tetap memberikan elemen canggih dan anggun untuk memastikan penampilan bakal pengantin terus mendapat perhatian dan tumpuan tetamu yang hadir pada majlis persandingan mereka.

"Kami sentiasa mahukan setiap pengantin baharu tampil bak ratu. Sebab itu musim ini saya memilih tema The Queen of Modesty," katanya.

Menggunakan dua pilihan warna iaitu putih gading dan warna 'nude', rekaan yang diserikan dengan renda dari rona putih gading tampak mewah kerana diperincikan dengan hiasan kristal Swarovski. Pemilihan fabrik pula adalah daripada jenis Italian Duschess dan organza.


PENGARAH Kreatif Costry, Putra Aziz (kiri) pada pelancaran The Queen of Modesty by Cosry di The Wedding 2017 di Kuala Lumpur. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Impian hampir terlaksana

Sementara itu, Putra berkata, impiannya untuk melihat setiap rekaan gaun pengantinnya menembusi pasaran antarabangsa hampir terlaksana apabila ada wakil dari New York yang mahu membawa dan memperagakan gaun pengantin Muslimah ciptaannya ke sana.

"Ada Persatuan Komuniti Islam New York di sana yang berminat untuk meletakkan gaun pengantin berkenaan di butik mereka.

"InsyaAllah jika perbincangan berjalan lancar, rekaan Cosry akan berada di New York tidak lama lagi. Kami juga akan mengadakan majlis pelancaran dan pertunjukan fesyen di sana nanti.

"Kami amat mengharapkan doa daripada semua supaya semua ini akan menjadi kenyataan," katanya.

Berita Harian X