Selasa, 14 March 2017 | 12:32am

Langkawi sedia anjur Ironman Malaysia

KUALA LUMPUR: Langkawi siap sedia menjadi tuan rumah kejohanan Ironman Malaysia dan [email protected] Langkawi 2017 yang berlangsung serentak pada 11 November ini.

Pengarah Urusan Ironman Asia, Geoff Meyer, berkata mereka teruja dapat terus menganjurkan Ironman Malaysia selain menyambut baik pengenalan [email protected] Langkawi di pulau itu.

"Kami menerima sokongan padu daripada peserta dan masyarakat tempatan, apa lagi dengan pengenalan acara Ironman 70.3 Langkawi," katanya dalam satu kenyataan.

Berkongsi pandangan sama ialah Pengurus Besar Major Events Malaysia (MyCEB), Tony Nagamaiah, yang menyatakan teruja apabila Langkawi terus menjadi tuan rumah Kejohanan Ironman Malaysia.

MyCEB adalah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Ironman 70.3 Langkawi membabitkan tiga disiplin iaitu renang 1.9km, berbasikal 90km dan berlari 21km, sementara Ironman Malaysia menampilkan kategori renang 3.8km, berbasikal 180km dan berlari 42.2km.

Tiga puluh atlet triathlon yang bersaing dalam Ironman 70.3 Langkawi akan meraih slot kelayakan untuk Kejohanan Ironman 70.3 Dunia 2018 di Nelson Mandela Bay, Afrika Selatan.

Berikutan pengenalan Ironman 70.3 Langkawi, Ironman 70.3 Putrajaya dihentikan tahun ini.

Ironman Malaysia 2017 yang menawarkan jumlah hadiah US$25,000 (RM111,165) menyediakan 40 slot kelayakan kumpulan umur bagi Kejohanan Ironman Dunia 2018 di Hawaii, Amerika Syarikat.

Kedua-dua kejohanan itu adalah sebahagian daripada Siri Kelayakan TriClub Asia 2018. - BERNAMA

Berita Harian X