Selasa, 14 March 2017 | 12:41am
SERAMAI 42 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Segamat Baru menerima rawatan pesakit luar di Wad Kecemasan Hospital Daerah Segamat (HDS) setelah mengadu muntah dan sakit perut. Kesemua pelajar terlibat yang berusia di antara 13 sehingga 19 tahun muntah-muntah serta sakit perut selepas mengambil sarapan serta makan tenghari di Dewan Makan sekolah mereka. - Foto Ahmad Ismail

42 pelajar SMKA Segamat Baru keracunan

SEGAMAT: Seramai 42 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Segamat Baru, di sini mengalami keracunan makanan dipercayai selepas sarapan dan makan tengah hari di dewan makan sekolah itu, pada Isnin.

Semua pelajar berusia 13 hingga 18 tahun, muntah-muntah dan sakit perut sejak petang tadi sebelum dikejarkan ke wad kecemasan Hospital Daerah Segamat (HDS) di sini, malam tadi.

Seorang pelajar, Hisham Ali, 18, berkata dia dan rakannya yang lain muntah-muntah dan sakit perut berulang kali sejak jam 6 petang tadi sebelum dibawa ke HDS oleh guru.

"Rakan yang lain juga turut mengadu muntah dan sakit perut, namun mula berkurangan selepas diberi rawatan sebagai pesakit luar di HDS sebelum dibenarkan pulang.

"Ada juga rakan yang sudah pulang ke rumah masing-masing selepas menerima rawatan di hospital berkenaan," katanya ketika ditemui di HDS malam tadi.

Sementara itu, Pengarah HDS, Dr Mokhtar Ahmad berkata, semua pelajar terbabit mula diberikan sebagai pesakit luar sejak jam 8.30 malam tadi.

Katanya, pelajar terbabit diberikan rawatan sebagai pesakit luar, sebelum dibenarkan pulang.

"Tiada pelajar yang dimasukkan ke dalam wad dan semua mereka dibenarkan pulang selepas menerima rawatan.

"Punca kejadian juga masih dalam siasatan," katanya.

26 dibaca
Berita Harian X