Selasa, 14 March 2017 | 4:05pm

UEM Group jalin kerjasama dengan Microsoft


Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Group Berhad, Datuk Izzaddin Idrus (kanan) semasa Majlis Menandatangani UEM Group dengan Microsoft Malaysia Inisiatif Digital berasaskan awan di Mercu UEM, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Salhani Ibrahim

KUALA LUMPUR: UEM Group Bhd (UEM Group), konglomerat infrastruktur dan perkhidmatan kejuruteraan, merancakkan lagi inisiatif pendigitalan kumpulan itu dengan menjalin kerjasama dengan Microsoft Malaysia.

Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Izzaddin Idris, berkata menerusi kerjasama berasaskan perkomputeran awan itu, Microsoft Malaysia akan menyediakan khidmat nasihat digital bagi menyokong UEM Group dan anak syarikatnya dalam perjalanan revolusi digital konglomerat itu.

Beliau berkata, perjanjian selama tiga tahun itu akan menyaksikan UEM Group dan anak syarikat bekerjasama dengan Microsoft Malaysia bagi memacu inisiatif digital berasaskan teknologi terkini seperti Internet Kepelbagaiguna (IoT), Analisis Data Ramalan, Pembelajaran Mesin dan Realiti Diperluaskan.

"Kerjasama dengan Microsoft Malaysia ini melengkapi program Penyelesaian Perancangan Penyumberan Enterpris Perkomputeran Awan selama tiga tahun bernilai RM150 juta yang diumumkan UEM Group Oktober lalu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara UEM Group dan Microsoft Malaysia di sini hari ini.

Izzaddin mewakili UEM Group manakala Microsoft Malaysia oleh Pengarah Urusannya, K Raman.

Majlis pemeteraian disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Digital Economy Corporation Sdn Bhd (MDEC), Datuk Yasmin Mahmood.

Hadir sama, Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta Bhd, Azmir Merican.

Izzaddin berkata, berikutan bangunan, lebuh raya, kilang dan keseluruhan bandar kini lebih 'pintar' dengan melalui sistem perkomputeran, penyelesaian digital adalah penting.

"Pengumpulan data bagi analisis dan penggunaan kaedah pembelajaran mesin berasaskan perkomputeran awan untuk meramal dan mengesan ketidakseragaman akan memberi kami maklumat operasi bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan seterusnya memodenkan lagi penyelesaian syarikat," katanya.

Berita Harian X