Selasa, 14 March 2017 | 4:26pm

Pesilat ASEAN panas badan di KLMO


GAMBAR fail, Mahaguru Muda merangkap Pemangku Pengerusi Majlis Tertinggi Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM), Datuk Megat Zulkarnain Omardin (dua kanan) beramah mesra bersama kepimpinan tertinggi jurulatih negeri selepas Mesyuarat Khas Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia di Kompleks Lincah Mahaguru Omardin di Batu Caves pada 2015. - Foto NSTP/Sairien Nafis

KUALA LUMPUR: Selepas hampir tiga bulan tanpa kejohanan kompetitif, atlet silat negara kini berpeluang menguji kemampuan mereka di Kejuaraan Silat Asia Tenggara Ke-7 yang dijadual berlangsung di Kompleks Lincah Mahaguru Omardin (KLMO), Batu Caves, bermula esok.

Kali terakhir saingan kompetitif disertai pasukan negara ialah Kejuaraan Pencak Silat Dunia di Bali, Indonesia dengan meraih tiga pingat emas, tiga perak dan tiga gangsa.

Kejohanan Pra Sukan SEA ini disertai tujuh negara, termasuk juara bertahan Sukan SEA Singapura 2015, Vietnam, Indonesia, Thailand, Brunei dan Filipina, membabitkan 150 pesilat serta pegawai pasukan.

"Kebanyakan negara yang menyertai Pra Sukan SEA ini membawa pasukan penuh ke Sukan SEA Kuala Lumpur nanti," kata Pengurus Besar Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Osman Nok.

"Saya dapat merasakan yang Vietnam bakal menunjukkan kemampuan sebenar mereka di sini, apatah lagi mereka membawa pasukan penuh ke Sukan SEA.

"Berbanding Indonesia (naib juara keseluruhan Sukan SEA Singapura), mereka mungkin tidak menurunkan kesemua pesilat untuk Sukan SEA KL 2017.

"Ini adalah kali ketiga Malaysia menjadi tuan rumah Kejuaraan Silat Asia Tenggara dan kali ini ia medan terbaik sebagai persiapan serta mengukur keupayaan menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, pada 19 hingga 31 Ogos depan."

Berita Harian X