Selasa, 14 March 2017 | 7:59pm
PETALING JAYA 14 MARCH 2017. Persembahan tarian Hip Hop pada Separuh Akhir Pertandingan Bakat 'SAY ADA GAYA' anjuran Selangor Youth Community (SAY) di Sunway Pyramid. NSTP/SADDAM YUSOFF

3 bakat ke final SAY IGNITE 2017


RAJA Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin bergambar bersama finalis pada Separuh Akhir Pertandingan Bakat 'SAY ADA GAYA' anjuran Selangor Youth Community (SAY) di Sunway Pyramid. Turut bersama Juri, Bernard Paul (kiri) dan Damian Mikhail (kanan). - Foto Saddam Yusoff

PETALING JAYA: Tiga peserta muda SAY Ada Gaya terpilih mempersembahkan bakat seni ke pentas akhir kemuncak acara SAY IGNITE 2017 di Pusat Konvensyen Sunway Piramid, 1 April ini.

Mereka yang melangkah ke final bagi program Selangor Youth Community (SAY) itu adalah penyanyi, Ika Mustafa dan Muhammad Akmal Harith serta penari berkumpulan Dynamic Duo.

Pada peringkat separuh akhir, mereka diadili tiga juri membabitkan penaung SAY, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin; penyanyi, Damian Mikhail dan Bernard Paul.

Ketiga-tiga peserta akan berentap merebut hadiah wang tunai berjumlah RM9,500 dan program mentor bersama duta SAY Ada Gaya, Altimet.

SAY Ada Gaya adalah pertandingan mencari bakat baharu di peringkat akar umbi dan mengambil inspirasi daripada rancangan televisyen 'Britain's Got Talent' yang mencungkil bakat baharu di United Kingdom.

Program berkenaan terbuka kepada belia berusia 18 hingga 35 tahun yang menetap di Selangor.

Seramai 86 belia menyertai program itu dengan memuat naik video bakat mereka ke laman sesawang SAY seperti nyanyian, bermain alat muzik, bermain papan selaju dan yo-yo.

Bagaimanapun, hanya 10 penyertaan terbaik layak ke pusingan separuh akhir yang berlangsung selama sejam di pusat beli-belah Sunway Piramid, hari ini.

SAY IGNITE 2017 adalah program kerjasama dengan Sunway bagi meraikan kepelbagaian bakat dan latar belakang belia kreatif di Selangor dalam usaha membentuk masa depan negeri yang lebih dinamik serta progresif.

Lima teras pembangunan belia Selangor yang diberi tumpuan adalah sukan dan rekreasi, kesenian dan budaya, keusahawanan dan perdagangan serta muzik dan seni persembahan.

Berita Harian X