Rabu, 15 March 2017 | 12:35am

Malaria ragut 700 nyawa di Burundi

DARI 1 Januari hingga 10 Mac tahun ini, 1.8 juta jangkitan malaria telah didaftarkan di Burundi. - Foto AFP / Roberto Schmidt)

NAIROBI: Kira-kira 700 orang maut akibat malaria di Burundi sejak awal tahun ini manakala 1.8 juta lagi dilaporkan dijangkiti penyakit itu.

"Burundi sedang berdepan wabak malaria," kata Menteri Kesihatan, Josiane Nijimbere, ketika mengulas laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), semalam.

Menurut WHO, sebanyak 1.8 juta jangkitan dikesan di Burundi sejak 1 Januari hingga 10 Mac lalu.

Nijimbere berkata, fakta terbaru itu menunjukkan peningkatan sebanyak 17 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

"Sebanyak 700 kematian dicatat sejak Januari," katanya.

Pada 2016, dianggarkan 8.2 juta orang dijangkiti malaria, dengan 3,000 kematian di Burundi yang mempunyai penduduk kira-kira 11 juta orang.

Menurut pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan sumber perubatan, Burundi kini berdepan masalah bekalan ubat antimalaria.

Sementara itu, Nijimbere mendedahkan sejumlah AS$31 juta (RM138 juta) diperlukan untuk memerangi malaria di negara itu dan memohon bantuan untuk membendung penyakit berkenaan. - AFP

Berita Harian X