Rabu, 15 March 2017 | 12:13pm

Trump lunas cukai AS$38j, 2005


PRESIDEN Donald Trump. - Foto Reuters

WASHINGTON: Presiden Donald Trump melunaskan AS$38 juta (RM169 juta) sebagai cukai terhadap pendapatan lebih AS$150 juta (RM668 juta) sepanjang 2005, menurut Rumah Putih, semalam.

Penjelasan dibuat terhadap laporan MSNBC memperoleh dua halaman dokumen berkaitan pembayaran berkenaan.

Hos bual bicara MSNBC, Rachel Maddow berkata, beliau menerima dokumen penyata cukai berkenaan daripada wartawan, David Cay Johnston, yang memberitahu dalam rancangan itu beliau memperolehnya menerusi pos.

Pembayaran itu, dipapar MSNBC pada laman webnya, menunjukkan Trump membuat pembayaran pada kadar sah percukaian persekutuan sebanyak 25 peratus pada 2005 selepas mengisytiharkan kerugian sebanyak AS$100 juta (RM445 juta).

Rumah Putih dalam satu kenyataan berkata, Trump mengambil kira 'penyusutan nilai yang besar dalam pembinaan.'

Trump sebelum ini berulang kali enggan mendedahkan pembayaran cukainya, lantas mengundang kritikan sepanjang kempen pilihan raya tahun lalu dan mencetus spekulasi dalam kalangan musuh politiknya yang mengatakan beliau menyembunyikan sesuatu.

Menurut laporan New York Times pada Oktober tahun lalu, pemaju hartanah itu mengisytiharkan mengalami kerugian AS$916 juta (RM4 bilion) pada 1995 dalam penyata cukai pendapatannya.

Akhbar itu berkata, potongan cukai yang besar membolehkan beliau mengelak membayar cukai pendapatan sehingga 18 tahun.

Bagaimanapun, penyata cukai pendapatan yang diberikan oleh MSNBC pada Selasa menunjukkan beliau hanya membayar cukai pada 2005.

Dokumen itu tidak menyatakan sama ada Trump sudah membayar cukai pada tahun lain atau jumlah yang sudah dibayarnya.

Washington Post tahun lalu melaporkan Trump tidak membuat sebarang bayaran bagi cukai pendapatan sekurang-kurangnya dua tahun pada penghujung 1970-an. - Reuters

Berita Harian X