Rabu, 15 March 2017 | 1:39pm

Kolej WIT dapat peruntukan RM4j

KLANG: Datuk Seri Najib Razak mengumumkan peruntukan RM4 juta kepada Kolej Institut Teknologi Pekerja (WIT) di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata, RM2 juta untuk menaik taraf kemudahan, peralatan dan perpustakaan Kolej WIT, manakala RM2 juta lagi khusus membiayai kebajikan pelajar miskin dalam kalangan anak kesatuan pekerja.

"Saya berharap peruntukan ini akan digunakan sebaiknya bagi memastikan Kolej WIT terus melahirkan pekerja berkemahiran tinggi," katanya ketika berucap pada Program Lawatan Kerja Perdana Menteri ke Kolej WIT di sini, hari ini.

Kolej WIT menawarkan lebih 15 kursus diploma dan sijil dalam pelbagai bidang antaranya pengurusan perniagaan; perakaunan; kejuruteraan automatif; mekanikal; elektrik dan elektronik; mekatronik, automasi industri dan kimpalan arka logam.


DATUK Seri Najib Razak (tengah) beramah mesra bersama pelajar Program Pendidikan Teknikal Toyota ketika mengadakan lawatan ke Kolej WIT di Pelabuhan Klang. - Foto Muhammad Sulaiman

Kolej WIT yang dikendalikan Kesatuan Pekerja-Pekerja Pengangkutan (WTU), kini mempunyai 1,300 pelajar

Perdana Menteri juga berkata, produktiviti pekerja di negara ini perlu dipertingkatkan kepada empat peratus pada setiap tahun, sekiranya ingin mencapai status negara maju.

Beliau berkata, produktiviti pekerja ketika ini hanya pada kadar 2.3 peratus sahaja dan ia boleh dipertingkatkan lagi apabila nilai kerja ditambah dari sudut teknologi, inovasi dan kemahiran.

"Produktiviti pekerja sangat penting dan perlu diberi perhatian oleh semua pihak. Ini adalah salah satu perkara yang saya tekankan iaitu mahu melahirkan pekerja yang ada produktiviti tinggi.

"Produktiviti ini berkait rapat dengan usaha negara melahirkan pekerja berkemahiran tinggi. Pekerja berkemahiran tinggi penting untuk memenuhi keperluan industri serta transformasi negara.

"Selain itu, negara ketika ini mempunyai 28 peratus atau 3.8 juta pekerja berkemahiran tinggi. Jadi, bilangannya perlu dinaikkan kepada 35 peratus menjelang 2020," katanya.

Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata kadar gaji juga akan bertambah jika tahap kemahiran, pendidikan dan produktiviti meningkat.

"Bajet 2017 memperuntukkan sebanyak 4.6 bilion untuk memperkasakan bidang latihan teknikal dan pendidikan vokasional (TVET)," katanya.

Berita Harian X