Rabu, 15 March 2017 | 3:38pm

Mahdzir bidas DAP pertikai PERMATA


Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid semasa sidang media selepas majlis Perhimpunan Bulanan dan Ikrar Bebas Rasuah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Putrajaya. - Foto NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan membidas tindakan DAP mempertikaikan individu yang menjayakan program Program Permata Negara (PERMATA) tanpa melihat pencapaian agensi itu dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damansara Utama, Yeo Bee Yin, tidak wajar mempertikaikan pembabitan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, selaku Penaung PERMATA.

"PERMATA adalah agensi kerajaan yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi mengendalikan pendidikan

awal kanak-kanak dan pendidikan di sekolah rendah menerusi pelbagai pendekatan yang holistik.

"Pihak Kementerian Pendidikan sentiasa menjalin kerjasama yang rapat dengan PERMATA dalam memastikan pendidikan yang terbaik untuk murid-murid berkenaan dan kejayaan yang dicapai tidak perlu dipertikaikan.

"PERMATA mempunyai model tersendiri dalam membentuk murid secara holistik dan kita menyokong penuh usaha PERMATA ini, " katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Bulanan dan Ikrar Bebas Rasuah

kementeriannya, di sini hari ini.

Bee Yin, dalam satu kenyataan semalam, mempertikaikan kenapa program PERMATA diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri sedangkan ia lebih sesuai di bawah kementerian yang terbabit dengan pendidikan kanak-kanak.

Mahdzir berkata, pelbagai kejayaan dicapai oleh murid-murid dari PERMATA, yang dilihat berada di landasan yang betul dan Bee Yin sebagai ahli politik perlu melihat kurikulum atau model PERMATA itu secara profesional.

Berita Harian X