Rabu, 15 March 2017 | 5:28pm

Bapa, kekasih dihukum mati bunuh anak

JOHOR BAHRU: Seorang bapa bersama teman wanitanya dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi hari ini, selepas didapati bersalah membunuh anak lelakinya berusia tiga tahun pada Disember 2013.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu terhadap Mohd Imran Mohd Ramly, 34, dan Norhidayah Mamid, 30, yang menghadapi tuduhan membunuh Muhammad Aqeef Adam.

Collin berkata, pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan di akhir pembelaan.

Katanya, walaupun tiada saksi di lokasi kejadian, keputusan boleh dibuat berdasarkan keterangan mengikut keadaan.

"Pakar patologi mengesahkan ada kesan pukulan objek tumpul di kepala mangsa secara berterusan selama tiga bulan yang mana sepanjang tempoh berkenaan mangsa di bawah jagaan kedua-dua tertuduh," katanya.

Mereka didakwa Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati mandatori, jika sabit kesalahan.


Seorang bapa, Mohd Imran Mohd Ramly (kanan), 34, dan teman wanitanya, Norhidayah Mamid, 30, dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru kerana membunuh anaknya Muhammad Aqeef Adam Mohd Imran berusia empat tahun di rumah bernombor A 2-22 Apartment Sri Putra, Jalan Meranti 7, Kulai. - Foto NSTP/Mohd Azren Jamaludin

Kedua-dua tertuduh dituduh melakukan perbuatan itu kediaman bernombor A 2-22 Apartment Sri Putra, Jalan Meranti 7, Kulai, antara 12 tengah malam 16 Disember 2013 hingga jam 6.45 petang, 19 Disember 2013.

Seramai 13 saksi pendakwaan dikemukakan sepanjang perbicaraan, manakala empat saksi pembelaan dipanggil termasuk kedua-dua tertuduh sepanjang prosiding perbicaraan yang berjalan sejak 12 Januari 2016.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Iffa Zarilla Abd Rahman, manakala Mohd Imran diwakili peguam Normah Mohd Desa dan Norhidayah diwakili Shahruddin Osman.

84 dibaca
Berita Harian X