Rabu, 15 March 2017 | 5:47pm

Had baharu BDM dapat reaksi positif: Tiong Lai


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyaksikan Pengerusi MAHB, Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah (dua kiri) menyampaikan sijil "Winner Skytrax : Best Immigration Services at Airport" kepada Timbalan Ketua Pengarah Kawalan Imigresen, Datuk Ibrahim Abdullah (dua kanan) ketika majlis perasmian KUL VIP Access di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Turut kelihatan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Badlisham Ghazali. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah

SEPANG: Keputusan Kementerian Pengangkutan menaikkan had berat dengan muatan (BDM) lori berkuat kuasa Isnin lalu, sudah mengambil kira semua aspek termasuk keselamatan.

Kadar had BDM kenderaan 'decontrolled' dinaikkan daripada lima tan kepada 7.5 tan, dua gandar, tiga gandar (rigid/tegar) dan tiga gandar (articulated/bersendi) masing-masing dinaikkan satu tan kepada 19, 27 dan 31 tan.

Bagi kenderaan empat gandar pula, had muatan dinaikkan dua tan kepada 39 tan, lima gandar dinaikkan lima tan kepada 45 tan dan enam gandar dinaikkan enam tan kepada 50 tan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata ia adalah keputusan kabinet yang mendapat reaksi positif pelbagai pihak iaitu jabatan dan agensi berkaitan.

Katanya, dari segi keselamatan pandangan daripada pelbagai pihak sudah diambil dan ia adalah pandangan terbaik.

"Peningkatan itu adalah minimum bukan maksimum. Lori yang ada sekarang memang layak dan berkapasiti lebih tinggi sebenarnya.

"Mengenai aspek keselamatan lain (kapasiti jalan raya) itu juga sudah diambil kira dengan pandangan Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR).

"Ini adalah keputusan kabinet (selepas ambil kira pelbagai aspek) bukan keputusan saya seorang diri," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Perkhidmatan KUL VIP Access yang ditawarkan Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Mengulas mengenai kenyataan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang mendakwa keputusan itu dibuat tanpa perbincangan dengan SPAD, katanya, mana-mana agensi tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sebarangan tanpa merujuk kepada kabinet.

"Saya rasa itu (masalah) dalaman SPAD (jadi) kena tanya dia. Mana-mana agensi apabila Menteri sudah buat kenyataan tidak sepatutnya secara terbuka untuk respon selainnya, sebab semua kenyataan menteri adalah dasar kabinet, " katanya.

Ditanya kenyataan Pengerusi SPAD, Tan Sri Syeh Hamid Albar untuk menghubunginya, Tiong Lai berkata beliau mengalu-alukan tindakan itu.

47 dibaca
Berita Harian X