Rabu, 15 March 2017 | 7:39pm

Digistar labur RM40j perluas sistem keselamatan


MENTERI Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak (tengah) menyaksikan memorandum persefahaman (MoU) antara Digistar Holdings dan React Mobile Ltd (Amerika Syarikat) pada majlis pelancaran Panther Mobile di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Digistar Corp Bhd akan melabur RM40 juta bagi memperluaskan perkhidmatan serta sistem keselamatan komprehensif terbaharunya, Panther Mobile, ke luar negara khususnya di ASEAN.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Wira Lee Wah Chong, berkata sasaran itu disandarkan kepada peningkatan permintaan yang konsisten terhadap sistem keselamatan di rantau ini, selain penawaran sistem Panther Mobile itu sendiri yang murah dan mudah digunakan.

"Dengan hanya membayar RM30 sebulan orang ramai boleh mendapat ketenangan tidak kira di mana mereka berada.

"Kami menyasar meraih 300,000 pelanggan Panther Mobile dalam tempoh lima tahun akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Panther Mobile di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak; Pengerusi Digistar Holdings Sdn Bhd, Tan Sri Ir Zaini Omar; dan Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif REACT Mobile Ltd, Robb Monkman.

Panther Mobile adalah butang panik mudah alih pintar yang beroperasi menggunakan teknologi Bluetooth, yang mana aplikasinya boleh dimuat turun pada telefon pintar.

Sistem itu disambungkan ke Pusat Kawalan Panther911 yang beroperasi 24 jam tujuh hari seminggu bagi memberikan maklum balas SOS, menyaring amaran sebelum menyalurkan insiden ke pihak berkuasa tempatan, termasuk polis.

Berita Harian X