Khamis, 16 March 2017 | 12:02am

Sorot naratif Maulana Rumi secara ilmiah


Buku, Rumi.

'TARIAN' sufi khususnya dengan gerakan darwish berputar sinonim kepada pelancong ke Turki, manakala dalam konteks tanah air, ia menjadi polemik hebat apabila sekelompok agamawan mengkritiknya dengan menganggap tidak kena-mengena dengan agama.

Bagaimanapun, tarian sufi atau istilah tepatnya sama', memiliki hubung kait dalam tradisi sufi yang memang banyak mengungkapkan pelbagai simbol untuk memperjelaskan persoalan metafizikal.

Apatah lagi sama' memiliki mata rantai tradisi sehingga turut menjadi ciri khas kepada tokoh besar sufi, Maulana Jalaluddin Rumi pada abad ke-13 dan pengaruhnya melebar dari Barat ke Timur seperti yang terbentang dalam buku Rumi Past and Present, East and West: The Life, Teachings and Poetry of Jalal Al-Din Rumi karya Prof Franklin D Lewis.

Buku yang terus diulang cetak termasuk pada tahun ini sudah tentu tidak hanya menyorot 'whirling dance' itu, sebaliknya meneliti setiap aspek kehidupan Maulana Rumi.

Pengaruh sebagai ulama besar

Ia bukan hanya memberikan gambaran menyeluruh Maulana Rumi dari aspek peribadi, bahkan mengenai teks dan ajarannya serta pengaruhnya sebagai ulama yang menguasai ilmu secara holistik dan batu asas gerakan tarikat al-Maulawiyah atau Mevlevi yang meninggalkan kesan kepada dunia Islam dan Barat.

Sebagai karya ilmiah, buku ini membina naratif akademik terhadap kehidupan dan ketokohan Maulana Rumi yang tentu berdepan cabaran hebat apatah lagi dengan rujukan yang tidak terlepas daripada hagiografi, iaitu cenderung memperbesar-besarkan tokoh secara tidak kritikal.

Kita akan didedahkan dengan wacana ilmiah berdasarkan sumber seperti Ebteda Nama, Manaqib Al-'Arifin, Resale-ye Sepahsalar, Nafahat Al-Ons dan Tazkerat Al-Shu'ara untuk membentuk kronologi utuh.

Bagaimanapun, karya terbabit banyak membantu sarjana moden seperti RA Nicholson, Golpinarli, Annemarie Schimmel dan Foruzanfar serta tidak terkecuali pengarangnya sendiri, sehingga memancarkan imej berdasarkan hakikat sufi tetapi berpijak kepada landasan ilmiah.

Lewis turut menyorot alunan Mathnawi dan tarikat al-Maulawiyah bukan saja menggerakkan kesarjanaan Barat untuk mengkajinya, bahkan menyentuh emosi keintelektualan sehingga turut mencuri perhatian budaya popular.

Di sebalik keseriusan subjek dan ketebalan material, buku ini wajib ditelaah bukan saja pembaca tekal karya sufi, bahkan khalayak untuk menggali makna dan hakikat yang boleh diibaratkan samudera maknawi.

Penilaian

Tajuk: Rumi Past and Present, East and West: The Life, Teachings and Poetry of Jalal Al-Din Rumi

Penulis: Prof Franklin D Lewis

Halaman: 686

Penerbit: Oneworld

Penilaian: *****

Berita Harian X