Jumaat, 17 March 2017 | 2:06pm

Jalan alternatif sempena LIMA


MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah - Foto Asyraf Hamzah

LANGKAWI: Kerajaan negeri mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) membuka jalan alternatif sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2017 yang bermula Selasa ini.

Ia membabitkan laluan sejauh 1.4 kilometer (km) yang masih dalam pembinaan di Jalan Pantai Chenang dari persimpangan Jalan Pantai Tengah ke persimpangan Kampung Bohor sebagai lencongan sehala sementara untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata langkah itu perlu bagi memudahkan tetamu negara, pempamer dan pengunjung ke pameran berprestij berkenaan bergerak dari Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) iaitu lokasi pameran aeroangkasa ke Tanjung Malai untuk segmen maritim.

"Jalan Pantai Chenang dijadikan jalan sehala sejak akhir tahun lalu, namun hari ini kita bersetuju PBT membuka jalan alternatif yang masih dalam pembinaan sebagai lencongan sehala sementara mulai Selasa ini.

"Bagaimanapun, laluan hanya dibuka kepada kenderaan ringan mulai jam 7 pagi hingga 12 tengah malam manakala had laju dihadkan kepada 30 km sejam," katanya pada sidang media selepas meninjau projek Chenang Waterfront di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Bashah berkata, langkah drastik itu juga seiring janji dan komitmen kerajaan negeri kepada Kementerian Pertahanan bagi memastikan pameran dwitahunan LIMA 2017 berjalan lancar dan berakhir dengan kejayaan.

Sementara itu, Ahmad Bashah berkata, peniaga di Langkawi diingatkan supaya tidak menjadikan penganjuran LIMA 2017 ini sebagai peluang menaikkan harga barangan jualan sesuka hati.

Beliau berkata, peniaga yang ingkar bakal berdepan tindakan tegas daripada pihak berkuasa yang sentiasa membuat pemantauan harga barangan dan perkhidmatan ditawarkan di pulau ini.

Berita Harian X