Sabtu, 18 March 2017 | 12:11am

Makanan tak bersih punca barah usus

KUALA LUMPUR: Pengambilan makanan atau minuman yang tidak bersih, boleh menyebabkan radang dan barah usus.

Bakteria dalam makanan atau minuman yang tidak bersih menyebabkan lapisan usus diserang tanpa disedari.

Lama kelamaan usus akan ditumbuhi seperti jerawat, radang atau luka dan seterusnya ulser boleh berlaku.

Lebih membimbangkan, ia menyebabkan penukaran sel dalam usus dan dalam jangka panjang, menjadi barah usus.


KETUA Pakar Perunding Gastroenterologi, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM PPUKM), Prof Madya Dr Raja Affendi Raja Ali. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Ketua Pakar Perunding Gastroenterologi, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM PPUKM), Prof Madya Dr Raja Affendi Raja Ali, berkata sesetengah komponen bakteria jahat, tertumpu di kawasan yang diserang barah pada usus berkenaan.

"Dalam keadaan sedemikian, bakteria jahat akan memasuki dan menyerang hingga menyebabkan luka pada lapisan usus.

"Ini bermakna bakteria jahat di dalam usus memainkan peranan penting bukan saja mengakibatkan radang, luka dan ulser tetapi juga barah usus," katanya kepada BH Plus.


PENGAMBILAN makanan mengandungi probiotik dan prebiotik menggalakkan pertumbuhan bakteria baik di dalam usus, sekali gus memperbaiki sistem penghadaman dan pencernaan.

Antara tanda seseorang mengalami usus tidak sihat atau sistem penghadaman dan pencernaan kurang baik adalah mudah berasa tertekan atau kerap jatuh sakit.

Masalah berlaku disebabkan ketidakseimbangan bakteria baik dan jahat dalam usua atau dikenali sebagai 'dysbiosis'.

Ketidakseimbangan populasi antara bakteria baik, yang berperanan menjaga intergriti lapisan usus dan jahat ini akan diambil peluang oleh bakteria jahat.

Antara punca ketidakseimbangan bakteria di dalam usus adalah pengambilan antibiotik berlebihan.

"Pengambilan antibiotik bukan saja membunuh bakteria jahat tetapi juga bakteria baik," katanya.

Pengambilan makanan mengandungi probiotik dan prebiotik menggalakkan pertumbuhan bakteria baik di dalam usus, sekali gus memperbaiki sistem penghadaman dan pencernaan.

Gabungan probiotik dan prebiotik dipanggil simbiotik, memberikan kesan ke atas sistem pencernaan dan penghadaman yang bagus.

Probiotik adalah mikro organisma hidup yang memberi faedah kesihatan kepada mereka yang mengambilnya.

Antara makanan yang kaya dengan probiotik adalah minuman susu berkultur, yogurt, sup miso dan tempe, yang boleh didapati secara mudah dan murah.

"Sebagai contoh, probiotik merawat masalah cirit-birit yang disebabkan oleh pengambilan antibiotik berpanjangan.

"Pengambilan itu berupaya melawan bakteria jahat selain murah serta senang diperoleh," katanya.


MUDAH berasa tertekan atau kerap jatuh sakit mempunyai kaitan secara langsung dengan usus yang tidak sihat atau sistem penghadaman dan pencernaan kurang baik.

Probiotik memerlukan prebiotik sebagai 'makanan' bagi membolehkannya berfungsi mengembangkan bakteria baik di dalam usus dengan lebih berkesan.

Sumber makanan yang kaya dengan prebiotik adalah asparagus, bawang, daun bawang besar (leek), gandum dan bawang putih.

Mereka yang sering sembelit atau cirit birit dan buang air besar berdarah perlu memastikan tidak mengalami barah usus dengan menjalani ujian rektum dan pemeriksaan kolonoskopi (memasukkan kamera menerusi dubur untuk melihat usus).

gn4id:19551344

INFO:

  • Di dalam usus terdapat bakteria baik yang dikenali sebagai mikrobiota atau mikro organisma.
  • Biasanya dalam usus orang normal terdapat bakteria baik dan jahat.
  • Bagaimana mengetahui keseimbangan dan ketidakseimbangan bakteria baik dan jahat?
  • Menjalani analisis bakteria atau melihat mikrobiota atau produk yang dirembeskan mikrobiota di dalam najis (kos mahal dan setakat ini, di peringkat kajian saja).

Jumlah dos probiotik diperlukan:

1. Penggunaan teraputik (merawat penyakit): -10,000 bilion unit pembentukan koloni (CFU)

2. Kegunaan biasa (tanpa penyakit): - 1 hingga 2 bilion CFU.

*Tanda ketidakseimbangan bakteria dalam usus:

- Sembelit

- Tekanan

- Najis cair.

- Sakit perut berpanjangan.

- Pedih ulu hati.

- Kadang kadang berat badan turun.

- Mengalami tanda seperti barah.

*Tanda barah usus:

- Tiada selera makan.

- Buang air besar berdarah.

- Sering sembelit atau najis cair.

- Sakit perut berpanjangan.

- Sel darah rendah.

- Sesetengah pesakit 20 peratus tanda, termasuk tiada pendarahan.

* Saringan barah usus setiap 10 tahun.

* Barah usus kini muncul sebagai barah nombor satu paling kerap dialami lelaki, termasuk golongan berusia seawal 20-an dan 30-an.

Siapa berisiko tinggi dan perlu menjalani ujian kolonoskopi?

* Lelaki berusia 50 tahun ke atas.

* Mempunyai sejarah keluarga menghidap barah usus.

* Menghisap rokok.

* Minum alkohol.

*Individu yang berisiko rendah;

- Boleh menjalani pemeriksaan ujian najis di makmal bagi mengenal pasti sama ada terdapat darah yang terselindung di dalamnya.

- Jika positif, dinasihatkan menjalani kolonoskopi.

*Kategori perlu berhati-hati dengan pengambilan probiotik

1. Kanak-kanak

imun sistem belum matang

2. Pesakit kronik yang menghidap leukemia

-menjalani rawatan kemoterapi atau radioterapi.

242 dibaca
Berita Harian X