Sabtu, 18 March 2017 | 12:49am
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat bersama anggota polis mengangkat mayat mangsa yang kelima di Kampung Timah SKC, Bukit Beruntung. - Foto Syarafiq Abd Samad
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat bersama anggota polis mengangkat mayat mangsa yang kelima di Kampung Timah SKC, Bukit Beruntung. - Foto Syarafiq Abd Samad

Lima murid lemas, dua masih hilang

ANGGOTA Bomba dan Penyelamat bersama anggota polis mengangkat mayat mangsa yang kelima di Kampung Timah SKC, Bukit Beruntung. - Foto Syarafiq Abd Samad
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat bersama anggota polis mengangkat mayat mangsa yang kelima di Kampung Timah SKC, Bukit Beruntung. - Foto Syarafiq Abd Samad

BUKIT BERUNTUNG: Lima murid sekolah berusia 10 tahun hingga 12 tahun, termasuk satu pasangan adik-beradik lemas dibawa arus deras ketika sedang menangguk ikan di Sungai SKC, Bukit Beruntung, petang tadi.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, sekumpulan lapan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bunga Raya 1, berada di tepi Sungai SKC untuk menangguk ikan dalam cuaca hujan.

Seorang murid, Muhammad Shahir Azman, 7, selamat, manakala dua lagi masih hilang.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan R Supramaniam, berkata pihaknya yang dimaklumkan kejadian itu terus melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi kejadian dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor.

"Kita menemui mayat dua beradik, Shahrizwan Abdullah, 10 dan Shahrizat Abdullah, 12, pada jarak 50 meter dari lokasi mereka dibawa arus berhampiran jambatan di Kampung Timah.

"Dua lagi mayat iaitu Mohd Ikhwan Mohd Ridhuan, 10, dan Mohd Aiman Fitri Md Asmadi,12, masing-masing ditemui pada jam 9.47 malam serta 9.58 malam, sejauh kira-kira hampir empat kilometer dari lokasi mereka dibawa arus.

"Mangsa kelima, Amirul Hakimi Khairul Amru, 9, ditemui kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian jam 12.15 tengah malam tadi," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini.

Beliau berkata, polis dan bomba menjalankan operasi pencarian kini mengesan dua lagi mangsa.

Operasi pencarian dilakukan pada jarak lima kilometer di Sungai SKC sehingga menghampiri Sungai Hulu Selangor.

Katanya, tiga yang hilang itu ialah Muhammad Aiman Kamarul, 12 dan Mohd Iskandar Shah Abdullah, 11.

"Operasi mencari dan menyelamat dijalankan menggunakan kaedah 'Surface Searching' iaitu pencarian di kawasan permukaan air," katanya.

Sementara itu, bapa Muhammad Aiman, terkilan kerana tidak sempat bersemuka dengan anaknya sejak tiga hari lalu.

Kamarul Ariffin Osman, 45, berkata beliau tidak dapat berbual dengan anaknya kerana kesibukan tugas di sebuah syarikat swasta.

"Apabila saya keluar bekerja, anak saya sudah ke sekolah dan apabila saya pulang pula, dia sudah tidur.

"Kali terakhir saya bersemuka dengannya tiga hari lalu, namun tidak berbual panjang dan tidak sempat mengucapkan tahniah kepadanya atas kejayaan memenangi satu kejohanan bola sepak," katanya.

Berita Harian X