Sabtu, 18 March 2017 | 2:32am
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat bersama anggota polis mengangkat mayat mangsa yang kelima di Kampung Timah SKC, Bukit Beruntung. - Foto Syarafiq Abd Samad
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat bersama anggota polis mengangkat mayat mangsa yang kelima di Kampung Timah SKC, Bukit Beruntung. - Foto Syarafiq Abd Samad

Air cetek mudahkan usaha temui mangsa lemas

BUKIT BERUNTUNG: Keadaan air Sungai SKC, yang mulai surut, sekitar jam 8 malam tadi, memudahkan pasukan penyelamat menemui mayat ketiga, keempat dan kelima.

Ketiga-tiga mangsa, Mohd Ikhwan Mohd Ridhwan, 10 dan Mohd Aiman Fitri Md Asmadi, 12, masing-masing ditemui jam 9.47 malam dan 9.57 malam, dilaporkan terdampar di tebing sungai, empat kilometer dari lokasi mereka dihanyutkan.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohd Sani Harul, berkata kedua-dua mangsa ditemui terdampar di bahagian atas tebing sungai, tiga meter dari permukaan air.

"Mayat ketiga, keempat dan mayat kelima, Amirul Hakimi Khairul Amru, 9, yang ditemui jam 12.17 tengah malam tadi, terdampar di tebing sungai selepas air mulai surut.

"Keadaan ini sedikit sebanyak memudahkan pasukan penyelamat menemui mangsa tanpa perlu melakukan pencarian di dalam air oleh unit skuba bomba," katanya kepada BH di lokasi kejadian.

Katanya, pencarian dua lagi mangsa yang masih hilang Mohd Iskandar Shah Abdullah, 11 dan Muhammad Aiman Kamarul, 12, menggunakan semua elemen menyelamat yang dimiliki Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor.

Terdahulu, mangsa pertama dan kedua iaitu mayat dua beradik Shahrizwan Abdullah, 10 dan Shahrizat Abdullah, 12, ditemui pada jam 6.40 petang, dalam jarak 50 meter dari lokasi kejadian.

Ssemua mangsa bersama seorang rakan mereka yang terselamat, Muhammad Shahir Azman, 7, dilaporkan menangguk ikan di bawah jambatan Sungai SKC, Kampung Timah, Bukit Beruntung, pada jam 6 petang semalam.

Berita Harian X