Sabtu, 18 March 2017 | 1:49pm
PELAKON, Yana Samsudin (kiri) bersama suami, Fadzil Zahari dan anaknya, Aisy Mateen pada sidang media memperkenalkan drama melayu terbaru Astro 2017 yang diadakan di Saloma Theatre Hall, Jalan Ampang. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Yana mahu aktif semula

Pelakon, Yana Samsudin. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

KUALA LUMPUR: Selepas setahun menyepi, pelakon Yana Samsudin sedia kembali menyerikan dunia seni namun watak yang digalas perlu sesuai dengan statusnya sebagai ibu.

Yana atau nama sebenarnya, Norliana Samsudin, 33, berkata berikutan usia anak sulungnya, Aisy Mateen genap tujuh bulan, dia lebih yakin menerima tawaran berlakon sekarang.

"Keinginan kembali bekerja terasa membuak-buak. Cuma saya terlebih dulu menetapkan syarat supaya tidak menyusahkan pengarah dan produksi. Disebabkan saya mempunyai anak, masa bekerja tidak boleh lewat malam seperti zaman bujang.

"Lagipun, Mateen masih menyusu badan. Sedikit sebanyak ia mengehadkan pergerakan saya. Biar apapun, saya kena pastikan tanggungjawab sebagai ibu dan isteri dilaksanakan terlebih dulu," katanya kepada BH Online.

Selesa bekerja bersama pengarah Rashid Sibir, Yana kembali membintangi drama bersiri berjudul Jadikan Aku Yang Kedua.

"Saya pernah bekerja dengan Rashid dan tertarik dengan kreativitinya. Drama ini turut dibintangi Amyra Rosli, Amar Baharin, Kartina Aziz, Adibah Noor dan ramai lagi," katanya yang menanti reaksi peminat terhadap kemunculan semulanya itu.

Yana mendirikan rumah tangga dengan pelakon dan penulis skrip Fadzil Zahari pada 13 Februari 2015. Mereka dikurniakan cahaya mata sulung yang diberi nama Aisy Mateen yang bermaksud kehidupan yang teguh pada 21 Julai, tahun lalu.

Berita Harian X