Selasa, 21 March 2017 | 10:44am

Sektor pertahanan, keselamatan pastikan integriti negara: PM

LANGKAWI: Malaysia akan terus memberikan penumpuan kepada sektor pertahanan dan keselamatan kerana ia penting untuk memastikan integriti wilayah serta keselamatan nasional negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata selain ancaman tradisional dan bukan tradisional yang dihadapi rantau ini, perkembangan dalam sektor pertahanan dan jangkaan peningkatan kos turut diambil kira sebagai faktor utama.

Beliau berkata, industri pertahanan memainkan peranan penting memastikan pasukan keselamatan negara dilengkapi kelengkapan terbaik, apatah lagi dengan peranan yang berubah secara dramatik yang memerlukan kepada kajian dan pembangunan (R&D) berterusan.

"Kita perlu lengkapi perajurit kita dengan keupayaan diperlukan untuk mendepani peperangan moden bersifat simetri atau sebaliknya. LIMA'17 (Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2017) menjadi platform terbaik yang menghimpunkan firma maritim dan aeroangkasa dari seluruh dunia yang diperlukan.

"Bagi Malaysia kita ambil peluang ini secara serius. Kita peruntukkan RM26 bilion melalui Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) untuk memenuhi keperluan pertahanan, keselamatan awam dan penguatkuasaan," katanya ketika berucap sempena perasmian LIMA'17.


DATUK Seri Najib Razak (dua dari kiri) diiringi Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein (kiri) bersalaman ketika hadir merasmikan Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2017 (LIMA'17) di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC).- Foto Danial Saad

LIMA'17 bermula hari ini sehingga 25 Mac dengan kehadiran 300 delegasi pertahanan dan keselamatan, 55 kapal perang dan bot, 106 pesawat pelbagai jenis dan 467 pengamal media dari serata dunia.

Mengenai sektor aeroangkasa, Perdana Menteri turut menyuarakan keyakinan Malaysia mampu berperanan sebagai negara teraju dalam sektor itu khususnya di rantau Asia Tenggara, sekali gus memenuhi keperluan pasaran industri yang disasar mencatat pulangan RM55.2 bilion setahun menjelang 2030.

"Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri diberi peranan khusus untuk merangka pembangunan aeroangkasa, di mana rekod perdagangan produk dalam sektor itu pada tahun lalu mencecah RM17.47 bilion...eksport Malaysia untuk produk khususnya alat ganti dan komponen juga mencatat peningkatan 32.6 peratus membabit jumlah RM5.53 bilion.

"Dari segi pulangan, industri aeroangkasa merekod pendapatan RM12.7 bilion pada 2016 dengan peluang pekerjaan dihasilkan melebihi 21,000 tenaga mahir dan pertumbuhan dijangka berterusan dengan sembilan projek tambahan diluluskan tahun lalu membabitkan nilai pelaburan RM1.6 bilion yang mana 57 peratus daripada pelabur luar," katanya.

Sempena perasmian, Perdana Menteri turut meluangkan masa menyaksikan pertunjukan udara membabitkan aset ketenteraan negara termasuk tiga pesawat A400M yang baharu menyertai inventori ketenteraan negara sejak 2015.

15 dibaca
DATUK Seri Najib Razak berucap merasmikan Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2017 (LIMA'17) di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC). - Foto Danial Saad
ANTARA persembahan aerobatik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sempena majlis perasmian Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2017 (LIMA'17). - Foto Danial Saad
Berita Harian X