Rabu, 22 March 2017 | 3:30pm
PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Razak bersama Pengasas Alibaba, Jack Ma hadir ke Majlis Malaysia Launches World's First Digital Free Trade Zone. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Zon Perdagangan Bebas Digital dilancar


NAJIB bersalaman dengan Jack Ma selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Zon Perdagangan Bebas Digital hari ini. - Foto Sairien Nafis

KUALA LUMPUR: Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) dilancarkan hari ini, sebagai inisiatif terbaharu kerajaan dalam memacu perkembangan sektor e-dagang negara, seiring usaha pengukuhan kepada ekonomi domestik.

Pelancarannya disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di sini, turut dihadiri jutawan Internet dari China, Jack Ma, yang juga Pengerusi Eksekutif Alibaba Group.

Yang turut hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan Datuk Seri Wee Ka Siong; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, ahli korporat serta penggiat industri digital dalam dan luar negara.

Pada majlis sama, beberapa pertukaran memorandum persefahaman (MoU) juga diadakan membabitkan pelbagai syarikat digital, perbankan dan perdagangan seperti Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB), CIMB Group serta Maybank.

DFTZ akan menggabungkan zon fizikal dan maya dengan perkhidmatan digital dan perkhidmatan dalam talian tambahan bagi memudahkan inovasi berasaskan Internet dan e-dagang antarabangsa.

Zon fizikal dan maya akan berpusat di KLIA Aeropolis yang akan menjadi pusat kargo udara dan logistik serta penerbangan, dengan fasa inisiatif ini bermula hujung tahun ini membabitkan syarikat Alibaba Group; Lazada dan POS Malaysia.


NAJIB dan Jack Ma menyempurnakan Majlis Pelancaran Zon Perdagangan Bebas Digital hari ini. - Foto Sairien Nafis

Sementara komponen fizikal DFTZ memfokuskan penubuhan Hab Perkhidmatan Satelit, berpusat di Bandar Malaysia dan Bandar Internet Kuala Lumpur (KLIC) akan dibangunkan sebagai inisiatif pertama oleh syarikat Catha Group.

Seiring pelaksanaannya kelak, ia dijangka memberi pelbagai manfaat termasuk peluang kerjaya, mewujudkan insentif cukai dan prosedur pemeriksaan kastam yang lebih pantas kepada syarikat dan pemain industri digital.

Pelaksanaan zon pertama seumpama itu di dunia, diumumkan oleh Najib sebelum ini dalam pembentangan Bajet 2017.

Penubuhan DFTZ, antara inisiatif di bawah gelombang Industri 4.0, akan menggabungkan zon fizikal dan maya dengan perkhidmatan digital dan perkhidmatan dalam talian tambahan bagi memudahkan inovasi berasaskan Internet dan e-dagang antarabangsa.

Kerajaan juga sebelum ini mengisytiharkan 2017 sebagai tahun ekonomi Internet Malaysia.

Sumbangan ekonomi digital Malaysia kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sudah mencecah 17.8 peratus pada 2015 dan hampir merealisasikan sasaran 18.2 peratus yang ditetapkan untuk 2020.

Menerusi Bajet 2017, sebanyak RM162 juta diperuntukkan bagi melaksanakan pelbagai program seperti ekosistem e-dagang, 'Digital Maker Movement', serta pengenalan kategori lokasi baharu sebagai Hab Digital Malaysia.

Berita Harian X