Rabu, 22 March 2017 | 5:53pm

Aaisyah muncul dalam program realiti sendiri


ANAK kepada Rozita Che Wan, Aaisyah Dhia Rana. - Foto Adi Safri

KUALA LUMPUR: Puteri bongsu Rozita Che Wan dan Zain Saidin, Aaisyah Dhia Rana, 2 tahun, bakal muncul dalam program realitinya sendiri, Little Princess Aaisyah, bulan depan.

Program berkonsepkan hiburan ala pendidikan itu akan mula menemui penonton Astro Ria dan Ria HD mulai 12 April.

Menurut Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta, beliau bersetuju untuk membenarkan pihak terbabit merakamkan kehidupan Aaisyah kerana ia tidaklah membebankan anaknya itu.

"Saya sendiri suka melayan dirinya bagai seorang puteri, termasuklah mengenakan gaun cantik.

"Ia turut menjadi ruang untuk saya berkongsi serba sedikit kehidupan Aaisyah yang tidak dipaparkan di laman Instagram" kata Rozita ketika ditemui pada majlis pelancaran program berkenaan di sini, hari ini.

Kata pelakon dan usahawan jelita itu, Astro mengusulkan penerbitan rancangan berkenaan selepas mereka menghasilkan program membabitkan keluarganya sebelum ini, The House.

Ditanya mengenai perbandingan yang mungkin dibuat penonton antara program realiti Aaisyah dengan Lara Oh Lara yang menampilkan Lara Alana, iaitu anak pasangan Awal Ashaari dan Scha Alyahya, Rozita berkata, seelok-eloknya usahlah dibandingkan kedua-dua rancangan itu.

"Saya percaya, soal membandingkan kedua-dua rancangan itu pasti akan wujud. Cuma, saya yakin pengikut mereka adalah berbeza. Jadi, sebaik-baiknya tidak perlulah dibuat perbandingan antara dua rancangan ini.

"Ibu bapa Lara dan saya serta Zain masing-masing mempunyai cara berbeza membesarkan anak. Tidak kiralah bagaimana cara sekalipun, ibu bapa pastinya mahukan yang terbaik untuk anak mereka," katanya.

Little Princess Aaisyah akan turut menyaksikan Rozita dan Zain berkongsi tip keibubapaan dengan penonton.

54 dibaca
Berita Harian X