Rabu, 31 Disember 2014 | 11:11am

PBSNT ubah tarikh aksi persahabatan pra musim

KUALA TERENGGANU: Terengganu terpaksa menangguhkan dua perlawanan persahabatan pra musim berikutan masalah cuaca.

Berikutan itu, dua perlawanan bertemu Angkatan Tentera Malaysia (ATM), malam ini dan Negeri Sembilan pada 2 Januari akan ditukar kepada tarikh baharu.

Setiausaha Agong Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Arpin Draman, berkata pihaknya terpaksa membuat keputusan itu selepas mengambil beberapa faktor.

Beliau berkata, pasukan Terengganu dijadualkan akan mengadakan perlawanan persahabatan bertemu ATM di Stadium TUDM, Subang malam ini dan berkunjung ke Stadium Paroi, Negeri Sembilan selepas itu.

"Kita terpaksa membuat keputusan itu selepas mengambil kira beberapa faktor termasuk keselamatan pemain.

"Namun, perlawanan dengan Lions XII pada 9 Januari dan perlawanan amal bertemu Kelantan pada 13 Januari di Kuala Terengganu tidak berubah," katanya di sini, hari ini.

Arpin berkata, perlawanan yang ditangguhkan itu akan dijadualkan semula selepas majlis memperkenalkan pemain dan jersi pasukan pertengahan Januari ini.

"Kita berharap peminat bola sepak Terengganu dapat beramai-ramai menyokong usaha kami untuk membantu mangsa banjir di negeri ini dan Kelantan pada perlawanan amal bertemu Kelantan, 13 Januari nanti," katanya.

Berita Harian X