Khamis, 23 March 2017 | 11:31pm

Program PERMATA demi kebajikan kanak-kanak - Rosmah

DATIN Seri Rosmah Mansor menerima bunga yang disampaikan oleh kanak-kanak pada majlis makan malam penghargaan dan pelantikan Ahli Jawatankuasa Persatuan Usahawan Wanita Cina Malaysia (MCWEA) 2017 di Wisma Hua Zong, Kuala Lumpur, malam tadi. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

KUALA LUMPUR: Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menegaskan inisiatifnya membangunkan program Pusat Anak Permata Negara (PERMATA) adalah semata-mata demi kepentingan dan kebajikan pendidikan kanak-kanak di negara ini.

Katanya, pelbagai usaha dan tindakan diambil demi menjayakan program berkenaan sehingga ada pihak mendakwa beliau cuba bersaing dengan suaminya, Datuk Seri Najib Razak.

"Saya boleh katakan, kami sudah melakukan banyak usaha untuk menjayakan program PERMATA... saya melakukannya seikhlas hati demi kepentingan dan kebajikan anak-anak kita," katanya.

Beliau berucap pada majlis makan malam penghargaan dan pelantikan Ahli Jawatankuasa Persatuan Usahawan Wanita Cina Malaysia (MCWEA) 2017 di Wisma Hua Zong, di sini, malam tadi.

Penganjuran majlis makan malam itu bersempena sambutan Hari Wanita Sedunia 2017.

Turut hadir Penasihat Hal Ehwal Perpaduan dan Integriti Jabatan Perdana Menteri merangkap Ketua Wanita MCA, Datuk Heng Seai Kie; Pengerusi MCWEA, Puan Sri Dr Susan Cheah dan Presiden MCWEA, Datin Seri Jessie Wong Siaw Puie.

Atas sumbangan dalam membangunkan program PERMATA, MCWEA memberikan anugerah khas, Anugerah Wirawati Negara - Pembela Kanak-Kanak Malaysia 2017 kepada Rosmah yang disampaikan Siaw Puie.

Rosmah berkata, anugerah itu memberikan kekuatan kepadanya untuk meneruskan program PERMATA di negara ini.

Sementara itu, beliau berkata, kedudukan wanita di negara ini berada di satu tahap yang membanggakan, jauh lebih baik berbanding wanita di beberapa negara lain.

Katanya, peningkatan akses kepada pendidikan, peluang pekerjaan dan perubahan sosio budaya dalam kalangan masyarakat membolehkan wanita bergerak progresif dan berpeluang untuk menyumbang secara aktif kepada pembangunan negara.

"Ini diperkukuhkan lagi dengan sokongan kerajaan yang sentiasa mengambil berat mengenai isu dan kepentingan wanita serta mengiktiraf wanita selaku rakan pembangunan negara," katanya.

Terdahulu Seai Kie dalam ucapannya, berkata program PERMATA yang menyediakan program asuhan berkualiti secara percuma kepada kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah membolehkan lebih ramai wanita menyertai bidang pekerjaan tanpa perlu bimbang mengenai asuhan atau penjagaan anak mereka.

Ini kerana, katanya faktor utama yang menghalang wanita bekerja adalah masalah penjagaan dan asuhan kanak-kanak.

"Syabas, tahniah dan terima kasih kepada Datin Seri Rosmah atas sumbangan beliau dalam membangunkan program PERMATA.

"Melalui 5,421 pusat PERMATA di seluruh negara, ia berjaya memberi manfaat kepada lebih 54,000 kanak-kanak dari keluarga miskin dan kurang upaya setiap tahun," katanya.

Berita Harian X