Rabu, 31 Disember 2014 | 1:47pm
PELUMBA Formula Satu Perancis dan pasukan Marussia, Jules Bianchi. Bianchi sedang menjalani rawatan di hospital di Nice, Perancis selepas berdepan kemalangan ngeri di GP Jepun, Oktober lepas. - Foto AFP
PELUMBA Formula Satu Perancis dan pasukan Marussia, Jules Bianchi. Bianchi sedang menjalani rawatan di hospital di Nice, Perancis selepas berdepan kemalangan ngeri di GP Jepun, Oktober lepas. - Foto AFP

F1: Jules Bianchi masih kritikal

NICE (Perancis): Keadaan pelumba Formula Satu (F1) Perancis, Jules Bianchi yang berdepan kemalangan ngeri ketika Grand Prix Jepun, Oktober lalu kekal kritikal sekalipun sudah mula menjalani terapi.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh keluarganya, pelumba berusia 25 tahun itu masih berada dalam keadaan serius di hospital di Nice meskipun sudah bernafas tanpa menggunakan alat bantuan.

"Keadaan neurologi Jules kekal tidak berubah, dia masih belum sedarkan diri namun mampu bernafas tanpa bantuan," kata kenyataan itu.

"Sekalipun tiada laporan penting yang dapat kami berikan, kami merasa sedikit lega yang Jules terus bertarung dan kami tahu dia akan terus melakukannya, dan perkara itu membenarkan pasukan perubatan memulakan program terapi, seperti yang dirancang."

Bianchi berdepan kecederaan parah selepas jentera Marussia yang dipandunya melanggar pengangkut yang sedang mengalihkan jentera pelumba Sauber, Adrian Sutil di GP Jepun.

Nahas yang melanda Bianchi juga memaksa F1 menyemak kembali sistem keselamatan dalam perlumbaan elit itu. - AFP

Berita Harian X