Jumaat, 24 March 2017 | 4:43pm

DFTZ pemangkin pertumbuhan e-dagang Malaysia


PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Razak menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Zon Perdagangan Bebas Digital yang lalu- Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) dan pendekatan menyeluruhnya merangkumi mudah tunai, rantaian bekalan global, gerbang pembayaran, prospek latihan dan pekerjaan akan menyediakan platform kondusif bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab digital di Asia Tenggara.

Pelaksanaannya juga akan menggalakkan perniagaan tradisional, terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) beralih ke bidang e-dagang dan berniaga merentas sempadan ke negara ASEAN dan seluruh dunia.

"Pengumuman DFTZ yang ditunggu-tunggu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, muncul dalam keadaan perniagaan di Malaysia digalak memanfaatkan inisiatif ini bagi meningkatkan ekonomi digital di negara ini," kata Ketua Pegawai Eksekutif 11street, Hoseok Kim, dalam satu kenyataan.

Kim berkata, DFTZ ditubuhkan bagi memberi manfaat kepada PKS dan usahawan tempatan, menjadi pintu masuk ke pasaran ASEAN dan membolehkan produk tempatan dipasarkan ke pasaran lebih meluas.

Selain itu, pengenalan DFTZ oleh kerajaan membuktikan hasratnya untuk menyediakan pengetahuan dan melengkapkan usahawan dengan pengetahuan e-dagang, melengkapkan kemudahan luas yang akan ditawarkan zon perdagangan itu, katanya.

Bersetuju dengan hasrat itu, beliau berkata, program latihan 11street yang diiktiraf oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDeC), bertujuan membantu usahawan memahami asas dan strategi berkesan perniagaan dalam talian.

"Kami di 11street akan terus menyokong inisiatif untuk mengembangkan e-dagang di Malaysia, untuk membuka peluang bagi iklim e-dagang yang lebih baik bagi platform e-dagang dan juga usahawan," kata Kim.

11street ialah pasaran terbuka yang dikendalikan oleh Celcom Planet Sdn Bhd, usaha sama antara Celcom Axiata Bhd dan SK Planet Ltd. - BERNAMA

Berita Harian X