Jumaat, 24 March 2017 | 7:20pm

Gulai ikan punca 1,000 penduduk keracunan

YANGON: Kemeriahan menikmati jamuan tengah hari percuma di sebuah kampung di selatan Myanmar bertukar menjadi gempar apabila lebih satu pertiga penduduk kampung itu keracunan makanan.

Sumber tempatan memberitahu, penduduk dari kampung Eain Ta Lone di barat Yangon, jatuh sakit selepas menikmati gulai ikan yang dihidangkan pada majlis keagamaan Buddha bagi meraikan pentauliahan sami baru.

Susulan kejadian, lebih 1,000 penduduk kampung terbabit dibawa ke hospital dengan 367 ditahan di wad untuk rawatan lanjut.

Pekerja kebajikan, Wai Lin Aung yang membantu membawa semua penduduk itu ke hospital berkata, kebanyakan mangsa muntah-muntah dan memberitahu sakit seluruh badan.

"Mereka jatuh sakit selepas menikmati hidangan gulai hilsa (sejenis ikan) dan sup yang disediakan pada majlis berkenaan," katanya.

Pengurus perbandaran Myaung Mya, Aung Kyaw Zaya, berkata semua penduduk yang sakit itu dibenarkan pulang ke rumah masing-masing semalam.

"Mereka sudah dibenarkan pulang ke rumah, tetapi kami masih memantau perkembangan semua penduduk untuk melihat jika masalah kesihatan itu masih berterusan," katanya.

Myanmar memiliki rekod pemakanan yang buruk dan pelancong luar sering mengalami keracunan makanan setiap kali mencuba hidangan tempatan.

Ujian ke atas makanan yang dijual di tepi jalan di Yangon mendapati sebahagian besar juadah itu dicemari bakteria. - AFP

Berita Harian X