Ahad, 26 March 2017 | 6:56am

Buat wasiat elak 'perang' harta pusaka


AMANAH Raya Berhad antara badan menguruskan menguruskan harta pusaka bagi pihak waris.

KES pergaduhan antara keluarga disebabkan perebutan harta sering kita dengar menyebabkan hubungan kekeluargaan menjadi retak seribu. Kita mungkin tidak dapat merasainya kerana tidak berdepan masalah itu.

Bagaimanapun, dalam carian di internet menunjukkan lebih 400,000 paparan berkisar perebutan harta. Ini menunjukkan ia menjadi masalah yang besar kepada masyarakat Islam, termasuk di negara ini.

Ada kes suami masih terlantar di Unit Rawatan Rapi (ICU), adik beradik suami sudah mula berebut mengenai harta. Isteri dan anak angkat hanya mampu melihat perebutan harta antara mereka kerana suami tidak membuat sebarang wasiat.

Apa nasib anak angkat suami yang sememangnya tidak layak untuk mewarisi harta. Adakah adik-beradik suami akan memberikan sedikit harta peninggalannya selepas beliau meninggal dunia? Adakah nasib isteri akan terbela jika adik-beradik suami mahu membahagikan harta dengan menjual rumah yang sedang diduduki oleh keluarga itu?

Kes terbaru dilaporkan di Kuala Pilah antara anak saudara dan bapa saudara yang berparang kerana berebutkan harta peninggalan nenek. Lebih menyayatkan hati Allahyarham baru tiga minggu meninggal dunia, tanah kubur masih lagi merah.

Harta milik sementara

Ini adalah contoh perebutan harta yang berlaku dalam kalangan umat Islam yang boleh dielakkan jika kita mengurus harta menerusi kaedah disarankan oleh Islam. Malah, jika di urus dengan baik, hubungan sesama keluarga dapat dieratkan melalui kontrak muamalat seperti sedekah, hiba, wakaf, wasiat, faraid dan lain-lain lagi.

Harta yang kita miliki di dunia ini hanyalah sementara kerana kesemua harta itu sebenarnya milik Allah SWT. Kita hanyalah pemegang amanah. Bagaimanapun, harta yang diuruskan dengan baik boleh menjadi aset di dunia dengan pulangan wang ringgit serta pahala untuk akhirat nanti.

Akhirat adalah destinasi akhir setiap manusia yang mana dosa dan pahala akan menjadi perhitungan sama ada kita mendapat keredaan Allah SWT atau tidak.

Sikap tidak ambil endah umat Islam dalam pengurusan harta akan merugikan diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Masalah ini dapat diatasi dengan mengambil langkah proaktif meningkatkan ilmu dalam bab muamalat dan mempraktikkan apa yang dipelajari untuk kebahagiaan dunia serta akhirat.

Contohnya, kita boleh mendalami ilmu mengenai wasiat dan membuat wasiat menerusi ejen wasiat bertauliah dari Majlis Agama Islam Negeri (MAIN). Wasiat menurut mazhab Shafie adalah pemberian harta seseorang kepada pihak lain selepas kematiannya.

Tingkat kesedaran

Kesedaran mengenai wasiat dalam kalangan rakyat Malaysia setelah meningkat dari setahun ke tahun dan kita disaran untuk membuat wasiat bertulis kerana ia mudah membuktikan kewujudan wasiat untuk satu pertiga daripada harta pusaka.

Wasiat yang dibuat di MAIN akan disimpan oleh pihak berkenaan dan dibacakan kepada waris selepas pewasiat meninggal dunia. Peranan MAIN sebagai pemudah cara akan memudahkan urusan pembahagian harta kepada waris.

Mereka yang ingin membuat wasiat boleh berjumpa dengan imam eksekutif yang ditauliah sebagai ejen yang mahir ilmu berkaitan wasiat, prosedur pendaftaran, enakmen berkaitan wasiat dan proses pelaksanaan wasiat.

Mereka juga mempunyai kefahaman jelas berkaitan ilmu faraid, wasiat, hibah dan wakaf. Sebagai pemegang amanah, mereka perlu menjaga kerahsiaan wasiat yang dibuat, memelihara kepentingan pewasiat, benefisiari dan menjadi pemudah cara yang menjaga keharmonian ahli waris.

Uruskan ketika hidup

Sementara itu, ahli jawatankuasa dan pengurusan masjid juga digalakkan mendalami ilmu berkaitan wasiat supaya mampu menjadi ejen kepada ahli kariah. Perkhidmatan itu membolehkan pengurusan masjid menjadi pihak ketiga dalam menjaga keharmonian hubungan antara keluarga pewasiat.

Pada masa sama, program kesedaran mengenai kepentingan wasiat perlu dipergiatkan supaya masyarakat tahu jalan sebaiknya untuk mereka menguruskan harta dan memberi kepada pihak yang dirasakan berhak menerimanya.

Pastinya kita tidak mahu disebabkan harta yang ditinggalkan, ahli keluarga berbalah sesama mereka kerana berebutkan harta. Justeru, sebaiknya harta diuruskan semasa hayat dengan mengambil kira kepentingan semua ahli waris.

Wasiat juga menjadi alternatif kepada seseorang yang tidak mempunyai waris untuk menentukan pihak yang ingin diserahkan harta itu. Selain ia boleh menjadi manfaat kepada yang hidup, pemberian berkenaan diharap dapat memberi ganjaran pahala kepada pewasiat.

Sudah tentu kita tidak mahu disebabkan kegagalan menguruskan harta dengan baik, keharmonian keluarga tergugat. Sebaiknya, pembahagian dapat dilakukan melalui perbincangan serta persetujuan ahli waris yang berhak demi kesejahteraan keluarga.

Penulis : Pengarah Institut Pengurusan Harta dan Kewangan Islam

Berita Harian X