Ahad, 26 March 2017 | 9:00am

Tengku Amir Shah tubuh Football Selangor


RAJA Muda Selangor, Tengku Amir Shah. - Foto Shahiman Sharip

SEPULUH tahun menetap di luar negara, Mei tahun lalu Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, kembali ke negara ini, lantas memikul tugas dan tanggungjawab baginda dalam institusi Diraja.

Pengalaman berada di luar negara dan kembali sebagai seorang pegawai tentera, pengharapan rakyat Selangor, sudah tentu amat tinggi terhadap puteranya.

Ikuti temu bual eksklusif wartawan BH Ahad, RAFIDAH MAT RUZKI bersama Tengku Amir Shah, baru-baru ini yang mengupas misi kesukarelawan putera berusia 27 tahun ini.

S: Boleh Tengku kongsikan latar belakang Tengku?

J: Beta dilahirkan pada 12 Disember 1990 di San Francisco, Amerika Syarikat. Mendapat pendidikan awal di Malaysia sebelum melanjutkan pelajaran peringkat menengah serta pengajian tinggi dalam bidang ekologi dan sains alam sekitar di Universiti Leeds, United Kingdom. Selepas kembali ke tanah air, beta menyertai Kolej Tentera Darat sebagai Pegawai Kadet Angkatan Tentera Malaysia sebelum menjalani latihan selama setahun di Akademi Ketenteraan Diraja (RMA) Sandhurst, United Kingdom. Beta kembali semula ke tanah air pada Mei tahun lalu.

S: Tengku mengasaskan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Selangor Youth Community atau SAY. Bolehkah Tengku berkongsi apakah SAY dan impaknya kepada masyarakat?

J: SAY bermula sebagai idea kecil kerana beta dibesarkan di Shah Alam. Shah Alam adalah kampung beta dan biasa orang cakap, 'apa boleh buat di Shah Alam?'. Tidak banyak yang dapat dikatakan pada masa itu walaupun Shah Alam adalah ibu negeri Selangor serta mempunyai pelbagai potensi yang tinggi. Beta membuat sedikit kajian mengenai Shah Alam dan mendapati 70 peratus populasi bandar raya ini adalah mereka berusia bawah 35 tahun, ia adalah angka yang besar kerana kita mempunyai banyak institusi pengajian tinggi seperti Universiti Teknologi MARA (UiTM), Management Science University (MSU) dan politeknik, satu populasi pelajar yang besar di Shah Alam tetapi pemaju sukar melihat apa yang boleh ditawarkan Shah Alam kerana Almarhum nenda beta (Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah) meninggalkan Shah Alam dengan amanat supaya tiada unsur-unsur hiburan seperti panggung wayang dalam lingkungan lima kilometer dari Masjid Negeri dan ia kekal dengan cara yang halal. Dengan amanat sedemikian, beta mahu menghormati hasrat nenda beta dan meneruskan legasi itu. Kami cuba mencari cara untuk melakukannya.

Menerusi satu kajian, kami dapati generasi muda di sini lebih cenderung kepada empat perkara. Mereka mahu berupaya menjadi usahawan, kehidupan yang sihat serta aktif dalam sukan, mereka mahu kesenian dan kebudayaan serta mahukan muzik dan hiburan. Mengambil kira kehendak sedemikian, kami menubuhkan SAY sebagai platform mendekati generasi muda dan melihat apa yang mereka mahukan. Kami cuba mencari jalan penyelesaian kepada permasalahan serta kekurangan yang dihadapi. Objektif utama SAY ialah menjadi fasilitator dan pemangkin di antara tiga pihak utama iaitu pertamanya generasi muda, keduanya pihak kerajaan (Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan kerajaan tempatan) dan ketiga pihak korporat dan sektor perniagaan, kerana beta percaya tanggungjawab terhadap masa depan Selangor memerlukan kerjasama daripada ketiga-tiga pihak ini. Generasi muda akan menyuarakan apa yang mereka mahukan, terpulang kepada kerajaan menggubal dasar dan sektor swasta boleh memainkan peranan untuk mendekati dan menyokongnya melalui penyaluran dana serta program komuniti. Kami melihat SAY sebagai pemudahcara atau pemangkin bagi mendekati mereka.

S: Apa yang mendorong Tengku untuk terbabit dengan aktiviti sukarelawan seperti ini?

J: Aktiviti sukarelawan ini pada pendapat beta, adalah sifat semula jadi bagi generasi muda lebih-lebih lagi bagi individu yang baru menamatkan pengajian tinggi. Mereka bukan hanya mahukan peluang pekerjaan dan membina keluarga semata-mata, sebaliknya mereka mahu memberi semula kepada masyarakat. Beta rasa kita semua boleh bersama-sama terbabit dalam masyarakat dan membantu membentuk masa depan kita. Itu sebab mengapa beta lakukan pelbagai program dan aktiviti bersama anak-anak muda yang lain dan Alhamdulillah sambutan yang diperoleh, amat menggalakkan. Tambahan pula, kekanda beta, Tengku Zatashah juga banyak melakukan aktiviti program kebajikan dan sukarela terhadap masyarakat. Beliau juga banyak menyumbang idea. Kami membantu antara satu dengan lain (kerana) hubungan kami amat akrab.

S: Adakah SAY turut bekerjasama dengan kerajaan?

J: J: Ketika dilancarkan Mei tahun lalu, satu daripada perkara utama dilakukan ialah membabitkan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri. Kami bertemu dengan Yang Berhormat Khairy Jamaluddin Abu Bakar (Menteri Belia dan Sukan). Beliau sangat bersetuju dengan idea (SAY) dan percaya serta gembira dengan apa yang kami lakukan. Masa sama, beta bertemu Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Exco Negeri, Amirudin Shaari, berkongsi apa yang kami boleh lakukan. Kami bukan NGO yang mahu melakukan semua benda secara sendirian, sebaliknya SAY cuba membawa pihak lain termasuk NGO lain untuk bersama-sama ke meja perbincangan.

S: Berapa banyak NGO yang bekerjasama dengan SAY?

J: Sangat banyak. Pada tiga bulan pertama, kami jalankan sekurang-kurangnya satu program setiap minggu. Beberapa minggu lalu, kami terbabit dengan program satu NGO di Kuala Kubu Bahru iaitu Projek Kalsom. Projek ini dimulakan sejak 1990an ketika mereka masih lagi pelajar universiti yang belajar di luar negara iaitu London School of Economics. Misi mereka adalah untuk membantu pelajar kurang berkemampuan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris masing-masing dan keyakinan mereka untuk menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Beta menyertai program mereka beberapa minggu lalu, ia seperti perkhemahan empat hari membabitkan kira-kira 200 pelajar Tingkatan Lima. Mereka mempunyai keputusan yang bagus, namun tidak mempunyai keyakinan dan memerlukan bantuan itu. Sebagai contoh, ada pelajar mengalami kesukaran ketika menyampaikan ideanya, kami melaungkan kata-kata sokongan kepadanya supaya dia tidak berputus asa. Ia menunjukkan kepada mereka bahawa masyarakat menyokong antara satu sama lain.

S: Apa itu SAY Ignite 2017?

J: SAY Ignite adalah antara projek utama kami di bawah Selangor Youth Community. Ia akan diadakan pada 1 April ini dan kami berharap ia dapat diadakan setiap tahun. Ia dinamakan SAY Ignite kerana mahu ia 'meletup' dan berkongsi kepada semua apa itu SAY. Ada tiga perkara utama yang mahu kami lakukan dengan SAY Ignite iaitu yang pertama kami mahu meraikan wira-wira yang tidak terlalu terserlah dalam masyarakat tetapi memberi sumbangan yang sangat hebat. Tidak dilupakan juga NGO lain yang menyumbang kepada pembangunan generasi muda dalam empat teras utama yang menjadi fokus SAY. SAY Ignite 2017 ialah konvensyen sehari yang memaparkan pelbagai aktiviti menarik. Selain meraikan individu serta komuniti, kami juga ingin mengetengahkan konsep perkongsian. Kami akan menjemput individu peneraju utama dalam bidang masing-masing untuk berkongsi pengalaman kepada belia-belia di Selangor terutama mereka yang bakal menamatkan pelajaran. Bagi kami, ini sangat penting agar belia ini mempunyai sedikit pendedahan mengenai apa yang bakal mereka tempuh. Menerusi konsep perkongsian ini, mereka boleh berkongsi idea dan pendapat termasuk dengan pihak kerajaan mengenai dasar yang perlu diguna pakai serta perkara yang penting di peringkat akar umbi.

S: Siapa yang terbabit dengan SAY Ignite 2017?

J: SAY Ignite terbuka kepada semua, cuma ia mungkin lebih fokus kepada pelajar universiti atau mereka yang baru sahaja mula bekerja atau profesional muda yang baru saja memulakan perusahaan sendiri. Ini mungkin lebih relevan dengan mereka berbanding pelajar sekolah. Sepanjang hari pada tarikh itu, kami akan adakan ceramah berbentuk motivasi oleh usahawan yang sudah berjaya, mengenai bagaimana mereka memulakan langkah dalam perniagaan. SAY Ignite juga akan meraikan usahawan muda yang memulakan perniagaan melalui pelbagai cara, termasuk yang menggunakan platform media sosial seperti Instagram sebagai alat pemasaran. Mungkin ada antara mereka yang pernah menghadapi kesukaran dalam apa juga yang dilakukan, maka penghargaan ini diharap dapat terus menggalakkan mereka untuk berjaya.

S: Apa lagi perancangan yang sudah dirangka untuk SAY?

J: Pada masa ini, kami sedang meninjau apa yang kami gelar sebagai 'Sports Selangor'. Kami mahu membangunkan tiga sukan utama iaitu bola sepak, renang dan badminton di peringkat akar umbi. Perkara pertama akan dilakukan ialah 'Football Selangor' yang menjurus kepada komuniti melalui pengenalan liga komuniti atau liga sosial. Beta percaya perkembangan sukan bola sepak negara perlu mengambil kira generasi muda dan kanak-kanak yang berusia lima hingga 10 tahun. Mereka ini memerlukan program mantap, selain program untuk jurulatih yang juga sama penting dengan latihan untuk pemain. Ini adalah antara permasalahan yang perlu ditangani.

S: Adakah Tengku melihat usaha beberapa pihak, termasuk apa yang dilakukan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, dalam sukan bola sepak sebagai inspirasi?

J: Beta akui, apa yang dilakukan TMJ sesuatu yang memberi inspirasi kerana mengubah wajah sukan itu di Malaysia. Beta fikir ia hebat. Kita perlu lebih berdaya saing dan bukan menyalahkan antara satu dengan lain. Kita perlu bertanggungjawab, menilai kelemahan dan yang penting sekali, melihat kekuatan kita. Apa kemahiran kita dan melakukan sesuatu berdasarkannya, cuba menjadi yang terbaik dan mengekalkannya. Secara peribadi, pada masa ini, Beta tidak terbabit dengan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS). Beta memberi tumpuan kepada komuniti orang muda melalui SAY, melihat bagaimana untuk menghasilkan program untuk generasi muda. Sewaktu belajar di luar negara, beta sering kali lihat perkembangan EPL (Liga Perdana Inggeris). Sekurang-kurangnya setiap pasukan utama mempunyai akademi dan program pembangunan bola sepak sendiri. Adalah penting, untuk mewujudkan budaya seperti ini. Kami melihat program Pembangunan Bola Sepak Negara dan lihat ia adalah program bagus dan langkah yang sewajarnya.

S: Adakah ia seperti akademi bola sepak komuniti?

J: Itulah perkara yang beta ingin berikan tumpuan. Pembabitan komuniti dalam sukan bola sepak adalah satu perkara yang boleh melahirkan lebih ramai lagi jaguh bola sepak kebangsaan. Perkara ini boleh berlaku kerana pengendalian program bola sepak oleh komuniti dapat memberi peluang yang lebih banyak kepada anak-anak muda untuk mengikuti latihan dan menimba pengalaman bermain bola sepak. Sewaktu berada di luar negara, beta dapat melihat ibu bapa sendiri menjadi jurulatih, pengadil dan juga penganjur kepada acara komuniti bola sepak yang membabitkan anak-anak mereka. Sikap proaktif dalam kalangan ahli komuniti inilah yang akan mengurangkan pergantungan kepada pihak kerajaan, justeru membawa kepada pembangunan bola sepak yang lebih mampan untuk negeri Selangor. Berikutan komuniti mempunyai peranan dan potensi yang besar dalam pembangunan bola sepak tanah air, penggiat bola sepak komuniti haruslah bekerjasama dalam menentukan hala tuju dan pendekatan yang paling berkesan dalam mencapai kejayaan. Banyak inisiatif dan program yang dijalankan komuniti tidak bertahan lama kerana kekurangan sumber, termasuk kewangan, kemudahan dan kepakaran. Selepas melihat situasi yang mencabar ini, beta melalui SAY sudah menubuhkan sebuah platform bola sepak komuniti yang dinamakan Football Selangor. Platform ini menitikberatkan kepada kerjasama dan kolaborasi antara penggiat bola sepak komuniti dan bertujuan untuk mewujudkan sebuah komuniti yang lebih teratur, selaras dan sistematik.

S: Tuanku ada juga menyentuh mengenai bola sepak Selangor.

J: Beta tidak terbabit dengan FAS tetapi menyuarakan teguran itu kerana kita semua tahu bola sepak adalah faktor penyatuan tanpa mengira bangsa, agama, latar belakang, kita semua sukakan bola sepak kerana gemarkan persaingan. Kita suka melihat pasukan kita menang. Bagi Tuanku Sultan, terutama pada zaman mudanya, baginda pernah hidup dalam era kegemilangan FAS. Baginda melihat itu dan tahu apa yang perlu dilakukan untuk mencapai kedudukan itu. Baginda tahu apa pengorbanan yang perlu dilakukan. Atas sebab itu kami mencadangkan perkara itu dan suarakannya kerana amat menyedihkan melihat keadaan FAS ketika ini. Objektif beta lebih kepada program komuniti, Football Selangor. Mewujudkan liga sosial, akademi kerana beta percaya mereka adalah masa depan. Kita perlukan asas yang kuat untuk orang muda kita. Beta juga adalah peminat, selepas menyuarakan pendapat, beta harapkan yang terbaik. Beta tidak gemar cara sesetengah orang yang membuat komen negatif (mengenai FAS). Sekurang-kurangnya jika anda mahu membuat komen negatif, berikan juga langkah penyelesaiannya, berikan sedikit idea. Jika anda fikir ia sangat teruk, berikan idea kepada Beta, kepada kami. Jika idea itu bagus, kami akan gunakannya. Beta bukan sahaja bertemu dengan FAS, malah turut berjumpa dengan kelab penyokong pasukan Selangor, bekas pemain Selangor dan juga ahli-ahli gabungan FAS. Beta nyatakan beta faham mereka tidak berpuas hati, tetapi harus terus bagi sokongan kepada pasukan dan terus beri idea membina mengenai bagaimana mereka melihat pasukan dan persatuan maju. Mereka mengikuti perkembangan bola sepak Selangor setiap hari dan menjadi mata dan telinga Beta terhadap isu ini.

Berita Harian X