Ahad, 26 March 2017 | 2:47pm

Warga emas ditemui mati


ANGGOTA polis mengangkat mayat warga emas yang dipercayai mati selepas disamun di Taman Seri Bayu 1, Alor Gajah. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

ALOR GAJAH: Seorang wanita warga emas ditemui mati dalam keadaan muka diserkup dengan kain dan tangannya diikat ke belakang dipercayai disamun, di rumahnya di Taman Sri Bayu, di sini, pagi tadi.

Kejadian disedari menantu mangsa, Baharudin Mohd Tahir, 66, kira-kira jam 8.30 pagi ketika hendak menghantar makanan kepada Kesom Ma'amin, 78, tetapi pelik kerana tiada sahutan daripada mangsa.

"Hampir 10 kali saya beri salam, pintu pula terkunci sebelum memaklumkan kepada isteri, Habsah Abu Hasan, 60, supaya menghubungi ibunya.

"Isteri kemudian datang dan memerhatikan dari tingkap sebelum melihat arwah terduduk di ruang tamu dalam keadaan bersimpuh dengan mukanya diserkup dan tangan diikat," katanya ketika ditemui.

Katanya, dia terpaksa mendapatkan bantuan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk membuka pintu hadapan rumah sebelum memaklumkan kejadian ke balai polis berhampiran.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan A Asmadi Abdul Aziz, ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat seorang wanita warga emas di dalam rumah dipercayai disamun dan dibunuh.

"Mayat mangsa ditemui terduduk di ruang tamu dalam keadaan tangan terikat dengan kain, manakala mukanya diserkup dan mulut mangsa dipercayai disumbat menggunakan kain.

"Tiada kesan pergelutan dan kecederaan pada anggota badan mangsa dan siasatan awal mendapati bilik utama dan ruang tamu rumah dalam keadaan berselerak," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

 

Berita Harian X