Isnin, 27 March 2017 | 6:01am

Agama asas kenegaraan gagasan TN50

MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin pada sesi Dialog Pertahanan Transformasi Nasional 2050 (TN50) sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) 2017. - Foto BERNAMA
MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin pada sesi Dialog Pertahanan Transformasi Nasional 2050 (TN50) sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) 2017. - Foto BERNAMA

ASAS kenegaraan merujuk kepada aspek yang menjadi pasak kepada pembentukan dan pembinaan negara. Asas ini membentuk identiti bagi Malaysia yang seterusnya memberikan keyakinan kepada Malaysia untuk sentiasa bersedia menghadapi sebarang cabaran. Dengan asas-asas kenegaraan ini, Malaysia tidak perlu lagi tercari-cari identitinya.

Dalam proses mencapai kemerdekaan dan menulis Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan bagi negeri-negeri 60 tahun dahulu, perbincangan mengenai asas-asas kenegaraan berlangsung dengan terperinci. Perkara asas itu disampaikan kepada Suruhanjaya Perlembagaan untuk diisytiharkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ekoran itu, asas kenegaraan dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan dengan persetujuan semua pihak. Justeru, asas yang dimaktubkan itu telah 'berkhidmat' kepada negara sehingga kini dan telah menghadapi insiden-insiden yang mencabar.

Dalam Perlembagaan Persekutuan, perkara yang menjadi asas kenegaraan Malaysia termasuk nilai warisan negara, terutama kedudukan Raja-Raja, kedudukan agama, bahasa, kepentingan sah semua komuniti, perpaduan, kebebasan asasi yang dijamin menurut prinsip tertentu, kedudukan prinsip moral, kepentingan keselamatan negara dan kesaksamaan peluang dan ekonomi.

Walau apa pun keadaan pada 2050 nanti, asas yang disenaraikan ini perlu dikekalkan. Justifikasinya ialah perkara itu adalah asas kepada pembinaan negara dan pada masa sama adalah faktor utama menyumbang pembinaan peradaban Malaysia.

Bagi tujuan tulisan ini, saya cuba menghuraikan kepentingan agama, sebagai satu daripada asas kenegaraan yang membentuk identiti Malaysia.

Agama kerangka asas Perlembagaan

Agama secara umumnya adalah antara kerangka asas Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan negeri-negeri yang menjadi asas kenegaraan. Agama secara umum dan agama Islam secara khusus menjadi kerangka asas kerana kedudukannya sebelum dan selepas merdeka.

Peruntukan berkaitan agama ini melalui proses perbincangan panjang lebar ketika mencapai kemerdekaan. Dari sudut sejarah yang lebih panjang, negara kita sudah berabad-abad lamanya menerima kedudukan, kepentingan dan peranan agama. Sejarah membuktikan kepentingan dan peranan agama dalam negara ini dan ia hendaklah dikekalkan walaupun dalam apa juga arus kemodenan yang akan dihadapi dan dinikmati ketika tanah air mencecah 2050 dan mencapai usia 100 tahun pada 2057.

Sejarah menunjukkan tidak ada ketika agama terpisah dari bumi Malaysia ini dan tidak ada seinci tanah di negara ini yang boleh dipisahkan daripada agama.

Kedudukan agama bukan sahaja perlu dikekalkan, bahkan diperkasa dalam gagasan Transformasi Nasional 2050 (TN50). Negara hendaklah memperkukuhkan pandang alam agama. Negara hendaklah dibentuk dengan konsep ketuhanan serta ketauhidan yang ada dalam agama yang diwarisi dan diiktiraf negara, iaitu agama Islam.

Islam basmi kejahilan

Islam yang datangnya membasmi segala kejahilan dan seterusnya membentuk masyarakat tauhidik dengan meletakkan kepercayaan dan keimanan kepada Allah SWT sebagai Pencipta Yang Agung, hendaklah sentiasa menjadi panduan dalam kehidupan bernegara. Namun, atas dasar kebebasan beragama, konsep ketauhidan ini bukanlah paksaan ke atas agama lain. Jaminan kepada kebebasan beragama hendaklah terus diamalkan dengan formula hormat menghormati dan prinsip aman dan damai.

Di samping konsep ketauhidan itu, konsep kemanusiaan dan kehidupan mengikut pandang alam Islam juga perlu dijadikan panduan dalam membina gagasan TN50. Kemanusiaan yang tujuan asal penciptaannya untuk beribadat kepada Tuhannya dan melaksanakan syariatnya seperti ditemui dalam ayat suci al-Quran yang bermaksud "Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku.."(Surah Azzariyat:56) hendaklah diperkasa.

Perlembagaan Persekutuan yang memaktubkan kepentingan kemoralan dalam jaminan kebebasan asasi perlu diambil sebagai satu asas membentuk kenegaraan. Kemoralan mungkin dihujah sebagai bukan semata-mata dikaitkan dengan agama, namun agama jugalah yang perlu dijadikan sandaran dalam menentukan aspek dan perincian ciri-ciri kemoralan.

Kemoralan yang bagaimana akan sentiasa menjadi persoalan? Ia adalah soal falsafah yang boleh dibahaskan secara berjela-jela tanpa titik akhir. Namun, dalam gagasan yang mahu kita bentuk bagi Malaysia dalam TN50 ini, perlukan kemoralan yang mempunyai asas kukuh dan tujuan mendalam. Kemoralan itu perlu dipasak kepada agama yang benar.

Dalam sejarah ketamadunan dahulu, sumbangan Islam diiktiraf dalam pelbagai dimensi penting membentuk kehidupan dan kemanusiaan, seperti astronomi, kimia, matematik, fizik, perubatan, geografi, pertanian, industri, perdagangan, seni dan seni bina. Tidak ketinggalan, Islam memberikan sumbangan besar dalam bidang sosiologi, falsafah dan sains politik. Namun, itu semua sudah menjadi sejarah kebanggaan Islam. Kita tidak lagi boleh bernostalgia mengenainya.

Kerja keras untuk mengembalikan kegemilangan sumbangan Islam perlu diteruskan dengan memastikan bahawa Malaysia ini tidak terpisah atau dipisahkan daripada agama.

Akibat perubahan demografi, penembusan sempadan dan penembusan budaya, maka sudah tentu agama menghadapi cabaran getir sebagai asas kenegaraan. Namun, kita hendaklah kembali menjuarai nilai agama sehingga membuktikan agama adalah pasak kepada aspek kenegaraan.

Penulis: Felo Utama, Institut Kefahaman Islam Malaysia

Berita Harian X