Rabu, 31 Disember 2014 | 10:45pm

Isu gaduh: KOM belum putus nasib Irfan ke Sukan SEA


KETUA jurulatih FELDA United, Irfan Bakti Abu Salim ketika sesi latihan pasukannya di Bangi. - Foto Goh Thean Howe

KUALA LUMPUR: Peluang atlet lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin untuk menyertai Sukan SEA 2015 di Singapura bergantung kepada hasil siasatan polis berhubung insiden pergaduhan dengan rakan atlet olahraga, A Kavee Alagan.

Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim, berkata berdasarkan had kelayakan ke Sukan SEA yang ditetapkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Muhammad Irfan layak ke temasya dwitahunan itu, namun KOM belum membuat sebarang keputusan berhubung perkara itu.

Beliau turut menegaskan KOM tidak akan berkompromi dengan mana-mana atlet olahraga yang terbabit dengan masalah disiplin.

"Kalau diikutkan, Muhammad Irfan layak ke Sukan SEA tetapi persatuan perlu menunggu hasil siasatan polis berhubung pergaduhan antara beliau dan Kavee Alagan.

"KOM juga perlu mendapat pandangan Majlis Sukan Negara (MSN) berhubung perkara ini," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat kejurulatihan KOM di pejabat KOM di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini hari ini.

Mesyuarat lebih empat jam itu, turut dihadiri bekas Presiden KOM, Datuk Zainal Abidin Ahmad yang dilantik sebagai penasihat badan induk sukan olahraga itu bagi menghadapi Sukan SEA 2015.

Baru-baru ini, atlet lompat tinggi Kavee Alagan mendakwa Muhammad Irfan menumbuknya di dalam bilik di MSN, Bukit Jalil.

Pergaduhan tersebut juga menyebabkan Kavee Alagan membuat laporan di Balai Polis Daerah Cheras kerana beliau dilaporkan mengalami kecederaan di muka dan rusuk kiri.

Berikutan insiden itu, kedua-dua atlet tersebut diarahkan keluar oleh MSN daripada asrama atlet di Casa MSN di Bukit Jalil, sehingga isu tersebut selesai.

Dalam pada itu, Karim berkata selain Muhammad Irfan, atlet olahraga yang turut melepasi had kelayakan ke Sukan SEA 2015 ialah atlet lompat tinggi, Nauraj Singh dan Iskandar Alwi; Casier Renee Kelly Lee dan Grace Wong (baling tukul besi); Nor Amira Nafiah (lompat jauh) dan Zaidatul Husnia Zulkifli (pecut).

Katanya atlet olahraga lain masih mempunyai peluang hingga 29 Mac depan untuk meraih tiket ke temasya itu menerusi beberapa kejohanan yang akan bermula Februari depan. - BERNAMA

306 dibaca
Berita Harian X