Isnin, 27 March 2017 | 8:21pm

Taufan 'raksasa' Debbie bakal badai Australia esok

KAWASAN timur laut Australia dijangka dibadai taufan raksasa yang dijangka membawa kerosakan besar. - Foto AFP
KAWASAN timur laut Australia dijangka dibadai taufan raksasa yang dijangka membawa kerosakan besar. - Foto AFP

AYR: Beribu-ribu penduduk termasuk pelancong dipindahkan hari ini apabila kawasan timur laut Australia dijangka dibadai taufan raksasa yang dijangka membawa kerosakan besar.

Biro Meteorologi berkata, Taufan Debbie terbentuk di pantai Queensland sejak beberapa hari lalu dan dijangka menjadi ribut kategori empat (dalam skala lima) selepas fajar esok (Selasa).

Penduduk yang meletakkan guni pasir dan memasang papan lapis pada rumah, diminta bersiap sedia berdepan cuaca terburuk melanda negeri itu sejak Taufan Yasi membadai pada 2011, meranapkan rumah dan memusnahkan tanaman.

Perdana Menteri Queensland, Annastacia Palaszczuk, berkata ia kemungkinan perpindahan terbesar pernah dilakukan.

"Ini perpindahan terbesar pernah kami lakukan. Taufan raksasa bakal menyerang," kata Palaszczuk menambah kemungkinan kerosakan struktur dan ketiadaan elektrik berlaku.

Kira-kira 3,500 orang dipindahkan antara pekan Home Hill dan Proserpine, terletak 100 kilometer dari selatan Townsville, kawasan pelancong digunakan untuk sampai ke Great Barrier Reef.

Tambahan 2,000 penduduk di kawasan pantai Bowen juga diarahkan berpindah, kata Palaszczuk dengan pusat perlindungan disediakan.

Hingga 25,000 penduduk di kawasan rendah di Mackay digesa berpindah ke tempat tinggi kerana taufan itu dijangka menyebabkan air pasang hingga 2.5 meter. -AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X