Selasa, 28 March 2017 | 3:23pm

Touch 'N Go lancar pusat khidmat pelanggan baharu

KUALA LUMPUR: Touch 'N Go Sdn Bhd (TNGSB) melancarkan Pusat Khidmat Pelanggan terbaru yang dikenali sebagai Pusat Pengalaman Pelanggan (CEC), menawarkan pelbagai jenis perkhidmatan dan kemudahan kepada pengguna.

Terletak di Bangsar South, CEC dilengkapi Mesin Layan Diri menawarkan perkhidmatan tambah nilai dan pembelian produk Touch 'N Go yang boleh diakses sepanjang masa.

Pusat itu juga menyediakan kemudahan seperti perkhidmatan pelanggan, khidmat foto kad Touch 'N Go, jualan peranti SmartTAG, ruang perkhidmatan rakan niaga Touch 'N Go dan perkhidmatan aduan pelanggan.

Ketua Eksekutif TNGSB, Syahrunizam Samsudin, berkata CEC yang menawarkan semua perkhidmatan Touch 'N Go akan beroperasi tanpa tunai sepenuhnya dengan semua transaksi dan pembayaran hanya menggunakan kad Touch 'N Go, kad kredit atau kad debit.

Sempena pelancaran CEC, katanya, TNGSB memperkenalkan perkhidmatan Pengembalian Wang Semula bagi kes penalti dan penamatan kad Touch 'N Go bagi sebarang amaun bawah RM100.

"Bagi kes penalti, jumlah bayaran akan dikembalikan terus ke kad pelanggan selepas ditolak tambang sebenar manakala bagi penamatan kad, baki boleh dipindahkan dari kad lama pelanggan ke kad Touch 'N Go yang lain," katanya pada majlis pelancaran pusat berkenaan, hari ini.

Pelancarannya disempurnakan oleh Pengerusi CIMB Group Bhd, Datuk Seri Nazir Razak.

Hadir sama Pengerusi TNGSB, Datuk Zainal Abidin Putih.

Syahrunizam berkata, sebagai peneraju dalam sistem pembayaran elektronik di negara ini, TNGSB turut memperkenalkan perkhidmatan kafe dalam CEC.

"Kafe terbabit menyajikan pelbagai pilihan sarapan, makanan ringan, set makanan tengah hari dan makan malam serta aneka pilihan kopi," katanya.


NAZIR diiringi Syahrunizam (kanan) ketika mencuba kiosk layan diri Touch 'N Go selepas melancarkan Pusat Pengalaman Pelanggan (CEC), di Bangsar South, hari ini. - Foto Sairien Nafis

Berita Harian X