Rabu, 29 March 2017 | 12:49pm

Tentera tinjau kawasan taufan Debbie

KEADAAN taufan Debbie yang meninggalkan kesan kemusnahan di sepanjang timur laut Australia. Gambar kecil, Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull.

AUSTRALIA: Tentera Australia dan pekerja bantuan kecemasan hari ini menuju ke kawasan tropika negeri Queensland yang teruk dilanda taufan Debbie.

Mereka mendapati jalan dihalang pokok tumbang dan ladang tebu musnah manakala kerosakan besar dialami di bandar sekitar pantai.

Tiada laporan kematian diterima selepas Debbie meninggalkan kesan kemusnahan di sepanjang timur laut Australia, semalam.

Debbie dikategorikan ribut tahap empat dan dianggap berada pada paras kelajuan angin paling berbahaya sebelum angin beransur reda kepada tropika rendah.

Ribuan penduduk mencari perlindungan ketika pusat peranginan di sepanjang terumbu karang terkenal di dunia, Great Barrier Reef dan kawasan pantai dibadai angin kuat lebih 260 kilometer sejam.

Jalan raya turut dipenuhi serpihan akibat ribut kuat itu.

Bercakap kepada wartawan di Pusat Penyelarasan Krisis di Canberra, Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull berkata:

"Ia adalah bencana alam semula jadi terburuk di Queensland. Banyak kerosakan berlaku. Usaha akan dilakukan untuk memperbaiki, membersih kawasan dan memulihkan bekalan elektrik."

Sementara itu, Ketua Menteri Queensland, Annastacia Palaszczuk, berkata kawasan paling teruk dilanda ribut ialah pantai Whitsunday dan pulau terletak kira-kira 900 kilometer barat laut ibu negeri Brisbane.

Katanya, bekalan air ke Pulau Daydream yang dihuni 200 tetamu dan 100 kakitangan terpaksa dipotong. - Reuters

Berita Harian X