Selasa, 26 Ogos 2014 | 12:23pm

Olimpik Remaja: Zolkples puji komitmen atlet pelapis negara sumbang pingat

NANJING: Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong memuji kesungguhan yang ditunjukkan oleh semua atlet pelapis yang beraksi pada Temasya Sukan Olimpik Remaja (YOG 2014) edisi kedua.

Kontinjen negara, sehingga hari ini berjaya mengumpul satu pingat emas, dua perak dan satu gangsa.

MSN dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), sebelum ini tidak meletakkan sabarang sasaran pingat kepada kontinjen negara kerana menyifatkan temasya sukan remaja terbesar dunia itu sebagai kejohanan yang bertaraf tinggi.

Mengikut Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), YOG bukan mengenai keputusan dan persembahan tetapi lebih kepada menimba pengalaman, proses pembelajaran serta memahami kerjaya masa depan seseorang atlet

Zolkples berkata beliau bangga dengan semangat juang tinggi yang ditunjukkan atlet pelapis negara dalam temasya empat tahun sekali itu, walaupun ada antara mereka membuat penampilan kali pertama pada kejohanan bertaraf dunia.

"Kejayaan ini dapat dijadikan sebagai penanda aras bagi mengukur sejauh mana tahap pencapaian program pelapis negara yang dikendalikan MSN.

"Ia bagi melahirkan lebih ramai atlet yang mampu berdaya saing serta mempunyai kemampuan untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi iaitu Sukan Olimpik," katanya ketika dihubungi dari Nanjing, hari ini. - BERNAMA

Berita Harian X