Khamis, 30 March 2017 | 4:42pm

PM Najib, isteri tiba di Chennai


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Chennai bagi memulakan lawatan dua hari ke Chennai, yang merupakan sebahagian daripada program lawatan rasmi enam hari ke India hari ini. - Foto BERNAMA

CHENNAI: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tiba di sini hari ini untuk lawatan rasmi enam hari ke India.

Ketibaan beliau bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor di Lapangan Terbang Antarabangsa Chennai disambut pegawai kanan tempatan dan Duta Malaysia ke India, Datuk Hidayat Abdul Hamid.

Ketibaan mereka di hotel penginapan turut disambut Menteri Kesihatan, Datuk Seri S Subramaniam; Duta Khas (Infrastruktur) ke India dan Asia Selatan, Datuk Seri S Samy Vellu; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Ramlan Ibrahim.

Najib yang dalam rangka lawatan enam hari ke India atas jemputan rakan sejawatannya Shri Narendra Modi akan mengadakan pertemuan bersama dengan pemangku Gabenor Tamil Nadu, Vidhyasagar Rao dan Ketua Menteri, Edappadi Palaniswamy di kediaman Gabenor, Raj Bhavan, petang ini disusuli jamuan makan malam dihos Vidhyasagar, malam ini.

Esok, Perdana Menteri akan menyertai mesyuarat perniagaan dianjur Dewan Perniagaan dan Perindustrian India -Malaysia, disusuli perjumpaan dengan pelajar dan rakyat Malaysia yang belajar dan bekerja di Tamil Nadu.

Najib kemudian akan berlepas ke Masjid Anjuman di sini untuk solat Jumaat, sebelum berlepas ke New Delhi, petang esok.

Malaysia dan India dijadual menandatangani sekurang-kurangnya 15 memorandum persefahaman (MoU) dan perjanjian bernilai kira-kira RM30 bilion sepanjang lawatan Najib.

Antara projek terbesar ialah pelaburan RM8.8 bilion untuk membina kilang ammonia dan urea di Malaysia khusus untuk pasaran India.

Selain Tamil Nadu dan New Delhi, Najib juga akan melakukan lawatan sehari ke Jaipur, ibu negeri Rajasthan untuk meninjau dan meneroka peluang pelaburan untuk syarikat Malaysia, khususnya projek infrastruktur.

Najib menjadi perdana menteri pertama melakukan  lawatan rasmi ke Tamil Nadu pada 2010.

Perdana Menteri sebelum ini mengakui sebahagian masyarakat India Malaysia masih mempunyai hubungan keluarga di India, khususnya di Tamil Nadu, justeru amat penting untuk kedua-dua negara untuk terus kekal akrab dan berkongsi kesejahteraan.

Lawatan ketiga Najib ke India sejak 2010 yang juga bersempena sambutan 60 tahun hubungan diplomatik di antara kedua-dua negara dan lawatan Modi ke Malaysia pada tahun 2015 adalah pengiktirafan oleh kedua-dua pemimpin mengenai hubungan sejarah dan ketamadunan yang dikongsi bersama.

31 dibaca
Berita Harian X