Jumaat, 31 March 2017 | 1:57pm

Dr Daing Nasir dilantik semula NC UMP


PROF Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim.

KUANTAN: Prof Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim dilantik semula sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP) untuk tempoh dua tahun, berkuat kuasa 16 Mei ini hingga 15 Mei 2019.

Pelantikan semula itu dibuat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, selaras peruntukan mengikut Seksyen 12 (1) Perlembagaan Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Daing Nasir, 62, yang berkelulusan dari University of Dundee, Scotland mempunyai latar belakang dalam bidang pengurusan, perakaunan dan tadbir urus, pertama kali dilantik sebagai Naib Canselor UMP pada tahun 2008.

Selain itu, beliau pernah berkhidmat di Universiti Sains Malaysia (USM) dan memegang beberapa jawatan utama termasuk Dekan di Sekolah Pengurusan selama 10 tahun.

"Komitmen berterusan warga universiti membolehkan UMP terus cemerlang apabila menerima empat bintang bagi penarafan aktiviti penyelidikan dan inovasi universiti awam dan swasta oleh My Reseacrh Assessment (MyRA) dan lima bintang untuk Sistem Pengurusan Data Universiti Awam (MyMohes).

"UMP juga tersenarai pada kedudukan ke-58 terbaik di dunia berdasarkan usaha kelestarian kampus dan pengurusan alam sekitar dalam penarafan UI-Greenmetric World University Ranking.

"Ini amat membanggakan dan saya akan pastikan UMP akan terus menjadi sebuah universiti teknikal cemerlang pada masa akan datang," katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Daing Nasir berhasrat menjadikan UMP sebagai universiti awam berteraskan kejuruteraan dan teknologi bertaraf global bagi merealisasikan visi ke arah universiti teknologi terunggul menjelang tahun 2020.

"Kita yakin dengan perkembangan UMP dan berazam untuk terus membawa UMP ke arah kecemerlangan selari dengan Pelan Strategik UMP 2016-2020 yang berslogan memasyarakatkan teknologi," katanya.

Berita Harian X