Sabtu, 1 April 2017 | 12:06am

LRT laluan Kelana Jaya alami gangguan teknikal


GAMBAR Twitter Rapid KL menunjukkan kakitangan membaiki sistem isyarat LRT laluan Kelana Jaya.

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) bagi laluan Kelana Jaya terjejas akibat masalah teknikal malam ini.

Jurucakap Prasarana Malaysia Bhd ketika dihubungi BERNAMA berkata gangguan itu membabitkan semua stesen di laluan Kelana Jaya.

"Gangguan bermula jam 8.23 malam tadi dan kerja membaik pulih sedang giat dilakukan," katanya.

Sementara itu, menurut laman Twitter Rapid KL, pengguna yang terbabit boleh mendapatkan bayaran balik tiket mereka dari pejabat perkhidmatan pelanggan di stesen LRT yang berkenaan.

"Pengguna dinasihatkan mendapatkan kenderaan alternatif untuk ke destinasi masing-masing. Segala kesulitan amat dikesali," katanya.

Menurut laman Twitter Rapid KL, syarikat itu menyediakan bas ulang-alik untuk penumpang LRT bagi laluan Kelana Jaya yang terkandas di stesen terbabit sejak 8.30 malam tadi.

Menurut laman Twitter Rapid KL, sebanyak 10 bas disediakan di stesen Masjid Jamek ke Asia Jaya, Gombak ke Masjid Jamek dan Putra Heights ke Asia Jaya bagi membawa penumpang yang terkandas.

Semua pergerakan tren laluan Kelana Jaya dipandu secara manual buat masa ini.

"Kami sedang berusaha membaiki masalah teknikal membabitkan sistem isyarat perkhidmatan tren LRT," kata Rapid KL.

Setakat 11 malam ini, perkhidmatan itu masih belum pulih.

Gangguan perkhidmatan itu menimbulkan rasa tidak puas hati segelintir pengguna yang meluahkannya di laman sosial.

Pengguna akaun Facebook Liezl Lafuente memuat naik dua gambar menunjukkan kesesakan orang ramai yang terkandas di Stesen LRT Dang Wangi kira-kira 9 malam tadi.

"Saya berasa kurang sabar, terkandas di Stesen LRT Dang Wangi kerana masalah teknikal," katanya.

Ina Inova pula memuat naik sebuah video berdurasi 20 saat menunjukkan keadaan di Stesen LRT KLCC pada 10 malam.

Perkhidmatan LRT itu terjejas akibat masalah teknikal membabitkan semua stesen di laluan Kelana Jaya bermula 8.23 malam tadi. - BERNAMA

113 dibaca
Berita Harian X