Sabtu, 1 April 2017 | 3:17pm

Pemuda PAS sedia hadapi PRU sendirian


MUHAMMAD Khalil (dua dari kanan) pada sidang media di Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Kedah ke-51 di Markas PAS Jerai, Batu 15 Padang Lumat. - Foto Sharul Hafiz Zam

YAN: Pemuda PAS sedia berdepan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) secara bersendirian jika Majlis Syura parti itu memutuskan untuk mengakhiri kerjasama politik atau 'tahaluf siyasi' bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Timbalan Ketua Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata demikian ketika mengulas isu tahaluf siyasi antara PAS dan PKR, yang kini menjadi antara topik utama dibangkitkan perwakilan melalui muktamar parti yang sedang berlangsung di seluruh negara.

"Dari segi sejarah, ia bukan suatu yang pelik kerana PAS dari segi politik dan strategi sentiasa bersifat terbuka. Kerjasama dan persefahaman antara parti politik mesti berteraskan kepentingan Islam.

"PAS sedia hadapi kemungkinan (bersendirian), namun kita buka kepada mana-mana parti untuk bersama dengan kita tetapi mesti hormati dasar Islam PAS dan memenuhi syarat ditetapkan," katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS Kedah di Markas PAS Jerai, di sini.

Semalam, Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, memaklumkan status tahaluf siyasi PAS dan PKR akan dimuktamadkan Majlis Syura pada Muktamar PAS Pusat Ke-63, yang akan berlangsung di Kedah bermula 29 April hingga 1 Mei ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Muhammad Khalil mengakui kedudukan PAS mungkin lebih baik jika berada dalam gabungan pakatan pembangkang, namun menegaskan tidak akan sesekali menggadaikan perjuangan untuk menegakkan Islam.

"PAS ambil pendekatan baharu melalui budaya politik matang, namun ramai yang menuding jari mengatakan PAS nak masuk UMNO dan BN (Barisan Nasional) sampai berjinak dengan UMNO, pakai sedondon dan duduk sepentas.

"Kita tak ada masalah untuk dekati pemimpin dan ahli UMNO selagi kita bertegas dengan prinsip Islam. Kalau Nabi Musa boleh pergi jumpa Firaun, kenapa Presiden PAS (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) tak boleh pergi jumpa Presiden UMNO (Datuk Seri Najib Razak)?

"Melalui pendekatan politik matang, kita tak bangkang secara buta-tuli, yang betul kita sokong, manakala yang tak betul kita nasihat untuk perbetul. Itu beza politik matang PAS dengan parti pembangkang lain," katanya.

61 dibaca
Berita Harian X