Sabtu, 1 April 2017 | 7:38pm

Tolak pemikiran TVET pendidikan kelas kedua


PROF Emeritus Tan Sri Sahol Hamid Abu Bakar (empat dari kiri) dan Datuk Razali Ibrahim (lima dari kiri) melawat tapak pameran daripada universiti dan kolej tempatan pada Majlis Program Jelajah Pendidikan Bumiputera Peringkat Parlimen Muar di Dewan Orang Ramai Sarang Buaya, Muar. - Foto Adi Safri

MUAR: Semua ibu bapa dan pelajar perlu mengubah persepsi bidang pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) sebagai pengajian kelas kedua.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim, berkata mentaliti ibu bapa dan pelajar yang sering menganggap bidang TVET sebagai bidang pengajian kelas kedua, perlu diubah.

Katanya, pemikiran sebegitu boleh menjejaskan usaha kerajaan untuk menggunakan tenaga kerja berkemahiran dalam bidang TVET pada masa depan.

"TVET sering dianggap sebagai peluang kedua untuk pelajar dan pemikiran itu masih membelenggu ibu bapa dan pelajar sehingga ke hari ini. Itu tidak benar, kerana bidang TVET ini sememang diperlukan terutama di negara maju dan kita perlu mengubah pemikiran itu.

"Peluang kerjaya bagi graduan TVET di negara ini juga tinggi kerana kadar guna tenaga yang memiliki kemahiran ini masih pada tahap rendah iaitu kira-kira 28 peratus berbanding penggunaan tenaga kerja di negara maju yang memerlukan lebih 60 peratus pekerja yang berkemahiran," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Jelajah Pendidikan Bumiputera Peringkat Parlimen Muar di Dewan Orang Ramai Kampung Sarang Buaya di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Induk Jelajah Pendidikan Bumiputera 2017, Prof Emeritus Tan Sri Dr Sahol Hamid Abu Bakar dan Pengerusi Gerakan Pendidikan Bumiputera, Datuk Mohd Faizal Daud.

Mengulas lanjut, Razali yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, lepasan peperiksaan awam di negara ini perlu menjadikan TVET sebagai pilihan pengajian kerana ia adalah bidang pendidikan yang diperlukan apabila Malaysia menjadi negara maju.

Sementara itu, Sahol Hamid berkata, peluang pendidikan berkaitan TVET sememangnya amat luas kerana negara ini mempunyai pelbagai kemudahan pendidikan tinggi yang mencakupi politeknik, kolej komuniti, kolej MARA dan institusi milik agensi kerajaan.

"Tempat untuk menyambung pelajaran dalam bidang TVET terbuka luas kerana banyak institusi pengajian menyediakan bidang ini. Malah, graduan TVET juga turut mempunyai peluang yang sama untuk menyambung pengajian hingga ke peringkat tertinggi termasuk di peringkat doktor falsafah (PHD).

"Selain itu, graduan bidang TVET juga turut mempunyai peluang kerjaya serta gaji yang ditawarkan juga turut lumayan. Justeru, pemikiran salah atau persepsi mengenai TVET perlu diubah dan kita sendiri perlu merebut peluang ini," katanya.

73 dibaca
Berita Harian X