Ahad, 2 April 2017 | 7:25am

Di Maria wira PSG julang Piala Liga Perancis


PENYERANG PSG, Angel Di Maria meraikan kejayaan selepas membolosi gawang Monaco pada perlawanan Piala Liga Perancis, awal pagi tadi. - Foto AFP

LYON: Angel Di Maria menjaringkan satu gol dan membantu mendapatkan dua lagi gol ketika Paris Saint-Germain (PSG) membenam Monaco 4-1 sekali gus menjulang trofi Piala Liga Perancis kali keempat berturut-turut, awal pagi tadi.

Julian Draxler meletakkan PSG di depan ketika perlawanan baru berlangsung empat minit dalam aksi final di Lyon, tetapi Thomas Lemar menyamakan kedudukan untuk Monaco pada minit ke-27.

Pemain antarabangsa Argentina, Di Maria memulakan dominasi skuad bimbingan Unai Emery apabila menjaringkan gol kedua PSG ketika saingan babak pertama berbaki seminit.

Jaringan itu diikuti dua ledakan oleh Edinson Cavani di babak kedua perlawanan termasuk pada minit akhir yang mengesahkan gelaran ketujuh buat PSG.

Selepas dikejutkan dengan kekalahan luar jangkaan kepada Barcelona dalam saingan Liga Juara Juara dalam perlawanan timbal balik, PSG menggunakan sepenuhnya pertembungan dengan pendahulu Ligue 1, Monaco untuk melepaskan geram mereka.

Bintang Monaco, Radamel Falcao gagal untuk pulih daripada kecederaan selepas diketepikan sejak 11 Mac lalu, tetapi Thiago Motta kembali merebut kesebelasan utamanya dalam skuad PSG dalam tempoh enam minggu.

"Kami berdepan detik sukar, tetapi kami tidak pernah berputus asa. Kami membuktikannya sebagai pasukan yang hebat. Saya rasa, kami layak untuk menang dan meraikannya.

"Dalam tempoh empat tahun, kami sudah menang semua gelaran. Kami pasukan yang hebat dan kemenangan ini adalah hadiah kepada semua yang terbabit. Sasaran kami ada gelaran juara liga dan kami akan memberikan segala-galanya sehingga ke detik akhir, " kata pemain tengah PSG, Marco Verratti.

AFP

Berita Harian X